Velesto raih kontrak pertama guna pelantar jack-up pihak ketiga daripada Hibiscus bagi kempen penggerudian luar pesisir

LocalBusiness & Finance
15 May 2026 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Velesto raih kontrak pertama guna pelantar jack-up pihak ketiga daripada Hibiscus bagi kempen penggerudian luar pesisir Image from: Velesto raih kontrak pertama guna pelantar jack-up pihak ketiga daripada Hibiscus bagi kempen penggerudian luar pesisir hamden15/05/2026 - 17:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Mei - Velesto Energy Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd., memperoleh kontrak daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited bagi penyediaan pelantar penggerudian jack-up untuk kempen penggerudian luar pesisir Hibiscus di Malaysia pada 2026.

 

Kontrak itu menandakan kontrak pertama Velesto menggunakan pelantar jack-up pihak ketiga di bawah aturan sewaan atau “asset-light arrangement”.

 

Skop kerja kukuh kontrak tersebut melibatkan perkhidmatan penggerudian bagi lapan telaga plug and abandonment (P&A) dan satu telaga eksplorasi, selain sehingga tujuh telaga tambahan secara opsyen.

 

Menurut Velesto, operasi dijadual bermula pada Mei 2026 di kawasan PM3 Commercial Arrangement Area (CAA) dan sekiranya telaga opsyen dilaksanakan, operasi akan diperluaskan ke kawasan North Sabah, luar pesisir Malaysia.

 

Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, kontrak tersebut mencerminkan keupayaan syarikat menyokong pelanggan menerusi pelbagai pendekatan operasi sambil mengekalkan standard kecemerlangan operasi, keselamatan dan prestasi.

 

“Sebagai pengaturan asset-light pertama kami, ia memperluaskan kaedah pelaksanaan projek tanpa menjejaskan disiplin serta konsistensi operasi.

 

“Langkah ini memberi fleksibiliti lebih besar kepada Velesto untuk bertindak balas terhadap peluang pasaran serta memenuhi keperluan pelanggan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Beliau berkata, penganugerahan kontrak itu turut mengukuhkan buku tempahan kumpulan selain mencerminkan keupayaan Velesto memperluaskan kapasiti operasi melalui gabungan struktur kontrak yang lebih pelbagai.

 

Kontrak berkenaan juga dijangka menyokong kadar penggunaan aset syarikat secara berterusan dalam persekitaran industri minyak dan gas yang semakin kompetitif. - DagangNews.com

Terkini standard