Velvet Aduk angkat warisan budaya menerusi Ogingol

LocalMusic
14 May 2025 • 1:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Kazalinah Kamaludin

PENYANYI dan penulis lagu Velvet Aduk mengangkat serta meraikan warisan budayanya menerusi album bahasa Dusun, Ogingol, yang dilancarkan pada 10 Mei lalu.

Menariknya, hampir semua lagu dalam Ogingol ditulis dan digubah sendiri oleh Velvet, menjadikan karya ini cukup peribadi dan sarat dengan sentuhan budaya.

Selain itu, album ini dihasilkan bersama rakan kolaborator lamanya, Brandon Laurie, manakala Andy O’Mail bertindak sebagai pemain gitar utama.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Lagu Kaandaman, yang ditulis oleh Brandon dalam bahasa Kadazan, turut menandakan penampilan sulungnya sebagai penulis lagu.

Velvet berkata, Ogingol menjadi platform untuknya mempromosi dan memelihara budaya warisan negeri ini.

“Album ini adalah cara saya untuk mempromosi dan memelihara budaya saya, seperti yang kita lakukan setiap tahun semasa sambutan Kaamatan.

“Ia bukan sekadar muzik; ia adalah cara saya belajar, mengingati dan memberi semula kepada budaya saya,” katanya.

Menurut bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat itu, dia mendapat inspirasi daripada kampung halamannya di Kampung Inobong, Penampang, tempat dia dibesarkan sambil bertutur dan mendengar bahasa warisan nenek moyangnya.

Lirik dalam lagu-lagunya mencerminkan variasi linguistik Dusun dan Kadazan yang dituturkan di seluruh Sabah, menjadikan album ini satu penghormatan yang tulus terhadap identiti budaya rantau tersebut.

Begitu pun, Ogingol bukanlah sekadar album muzik rakyat tradisional.

Velvet berkata, dia menggabungkan gaya kontemporari dan susunan muzik yang segar untuk menampilkan muzik Dusun dalam perspektif baharu.

Daripada elemen moden yang elegan hingga kepada irama mesra radio, katanya, setiap lagu menonjolkan identiti muziknya yang tersendiri.

“Saya mahu lagu-lagu Dusun kedengaran elegan dan bergaya,” kongsi Velvet.

“Terdapat gabungan gaya peribadi saya dengan elemen yang mudah dinikmati oleh pendengar. Ini bukanlah bunyi lagu Dusun yang biasa anda dengar.”

Album ini turut menampilkan duet bersama artis Sabah yang juga pemenang kategori Vokal Lelaki Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23, Arddley Nicholas, menerusi lagu Nouyan.

Sembilan lagu yang dimuatkan dalam Ogingol ialah Ogingol, Nokosuai, Bolintuongon, Mintogod, Miang-Miang Keladi, Kaandaman, Nouyan (menampilkan Arddley Nicholas), Kopiruba Wagu Insan Tadau dan Koupusan Ginawo Ku.

Dengan pelancaran Ogingol, Velvet juga berharap dapat mencetuskan minat baharu terhadap bahasa-bahasa etnik serta menginspirasikan lebih ramai orang untuk menghargai budaya mereka.

Album penuh ini sudah boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, YouTube Music dan iTunes.