Verbatim Jepun dan I‑O Data mengumumkan komitmen baharu untuk mengekalkan bekalan cakera fizikal dan komponen serta perkakasan pemacu Blu‑ray untuk pasaran Jepun. Komitmen dikeluarkan dalam situasi pengeluar lain seperti Sony menghentikan pengeluaran media serta pemacu fizikal disebabkan permintaan yang semakin susut.

Menerusi komitmen ini mereka akan menjamin bekalan komponen untuk pemacu Blu‑ray, mengekalkan bekalan cakera fizikal dan melaras barisan pengeluaran untuk memastikan produk baharu terus dibangunkan.
Permintaan untuk cakera fizikal semakin susut disebabkan populariti media distrim dan dibeli secara digital. Sony yang pernah suatu ketika ialah pengeluar pemain DVD terbesar dunia menghentikan pengeluaran pemain Blu-Ray tahun ini dan cakera media Blu-Ray, MiniDisc, MD Data serta pita MiniDV tahun lalu. Konsol PlayStation mereka pula kini menawarkan pemacu optikal secara berasingan.



