johardy17/09/2026 - 17:22 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - Vertex Material, sebuah syarikat bahan termaju Malaysia, menyasarkan untuk disenaraikan di Nasdaq pada tahun depan.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, rancangan sedang dirangka untuk membangunkan operasi pengeluaran di Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong pengeluaran pada skala komersial, mendapatkan akses terus kepada bekalan tembaga dan memperkemas logistik pengeluaran untuk pelanggan sasarannya.
Vertex Material mendakwa syarikat itu kini bernilai AS$7 bilion (RM28.69 bilion). Penilaian itu ditentukan menerusi laporan yang disediakan oleh sebuah firma perakaunan Malaysia, menurut Vertex Material.
Menurutnya, penyenaraian di Nasdaq akan membuka akses kepada modal bagi menyokong peluasan kapasiti pengeluarannya di AS, selain mengukuhkan profil syarikat di peringkat antarabangsa.
Fokus bahan komposit generasi baharu
Vertex Material memberi tumpuan kepada pembangunan bahan komposit tembaga-grafit generasi baharu untuk kegunaan dalam sektor elektrifikasi, infrastruktur tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan elektronik berprestasi tinggi.
Harga tembaga yang digunakan dalam pelbagai produk daripada pendawaian dan paip rumah hinggalah telefon pintar berteknologi tinggi serta kenderaan elektrik, mencecah paras tertinggi sepanjang masa pada tahun ini, sebahagiannya disebabkan kebimbangan mengenai bekalan bijih.
Vertex Material kini memiliki dan mengendalikan sebuah kilang di Kampung Baru Subang serta memperoleh perjanjian pembelian hasil bagi 160,000 tan produk setahun.
Pengasas dan Pengarah Teknikalnya, Datuk Tan Chin Tong berkata, perjanjian berkenaan menyediakan asas permintaan kepada syarikat, manakala cadangan operasi di AS akan menempatkan pengeluaran lebih dekat dengan pembekal dan pelanggan.
“Fasa seterusnya adalah mengenai pelaksanaan.
“Kami perlu membuktikan prestasi produk yang konsisten, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membina rantaian bekalan yang boleh dipercayai bagi memenuhi permintaan pelanggan yang telah kami peroleh,” katanya. - DagangNews.com


