amree14/09/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept — LYC Healthcare Berhad berusaha memulihkan kedudukan kewangannya selepas diklasifikasikan sebagai syarikat terjejas di bawah Nota Panduan 3 (GN3) Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Antara langkah tersebut menerusi cadangan terbitan awam permulaan (IPO) anak syarikatnya di Pasaran Nasdaq Amerika Syarikat (AS) untuk mengukuhkan semula tahap aliran kewangan kumpulan berkenaan.
Kumpulan diberikan tempoh lanjutan sehingga 30 November 2026 oleh bursa untuk mengemukakan pelan penyusunan semula bagi menangani status GN3 dan mengelakkan risiko pembatalan penyenaraian.
"Pihak pengurusan kini berada pada peringkat akhir menyediakan dan memuktamadkan pelan berkenaan sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan," maklum LYC kepada bursa.
Sebagai sebahagian daripada strategi itu, kumpulan mencadangkan IPO LYC Healthcare (Cayman) Ltd di Nasdaq, yang dijangka dapat mengumpul dana baharu mencecah hingga AS$25 juta (RM101.74 juta).
Ujarnya, dana daripada cadangan penyenaraian itu dirancang untuk memperkukuhkan kedudukan ekuiti kumpulan di samping membiayai peluang pelaburan dan pengembangan perniagaannya pada masa depan.

Subsidiari itu akan bertindak sebagai syarikat induk utama yang memegang operasi perubatan anak syarikat kumpulan di Singapura, T&T Medical Group Pte Ltd dan HC Orthopaedic Surgery Pte Ltd.
"Status GN3 dikenakan ke atas LYV berkuat kuasa sejak 30 Mei 2025, selepas ekuiti pemegang saham kumpulan merosot kepada kurang daripada 25% daripada modal saham terbitan syarikat," jelasnya.
Tekanan kewangan itu turut dicerminkan prestasi FY26 apabila hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 susut kepada kira-kira RM135.08 juta, berbanding RM155.52 juta pada FY25.
Pendapatan segmen kesihatan pula turun kepada RM134.69 juta, antara lain akibat pelupusan Elite Dental Team pada tahun sebelumnya serta kemerosotan 38% hasil perkhidmatan penjagaan berpantang.
Keadaan lemah tersebut dicatatkan di LYC Mother & Child Centre (Sg) Sdn Bhd berikutan permintaan yang lebih rendah, sekali gus menjejaskan tahap kedudukan kewangan kumpulan berkenaan sendiri.
"Seiring penyusutan hasil berkenaan, kerugian sebelum cukai (LBT) naik kepada RM8.83 juta daripada RM8.09 juta, manakala kerugian selepas cukai (LAT) mencecah RM22.94 juta bagi FY26," katanya.
Bagaimanapun, Lembaga Pengarah LYC kekal yakin pelaksanaan pelan penyusunan semula serta strategi pembiayaan yang dirancang dapat membantu kumpulan kembali mencatat keuntungan. - DagangNews.com





