Belanjawan 2027 perlu tawar insentif tarik pelabur institusi asing ke saham bermodal sederhana

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027 perlu tawar insentif tarik pelabur institusi asing ke saham bermodal sederhana Image from: Belanjawan 2027 perlu tawar insentif tarik pelabur institusi asing ke saham bermodal sederhana johardy17/09/2026 - 10:40

KUALA LUMPUR 17 Sept - Malaysia perlu memperkenalkan insentif cukai bersasar dalam Belanjawan 2027 bagi menarik lebih ramai pelabur institusi serantau ke pasaran saham tempatan, khususnya saham bermodal sederhana yang kurang mendapat perhatian, menurut Berjaya Research Sdn Bhd.

 

Pegangan ekuiti asing berada pada paras hanya 18.4% pada Julai 2026, menghampiri paras terendah dalam sejarah, sekali gus menunjukkan keperluan memperluas penyertaan pelabur antarabangsa melangkaui syarikat tersenarai bermodal besar.

 

Ketua Penyelidikan Berjaya Research, Kenneth Leong berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan pengurangan cukai pegangan ke atas pendapatan pelaburan ekuiti Malaysia atau menawarkan rebat cukai yang tertakluk kepada tempoh pegangan pelaburan minimum.

 

Beliau berkata, pelabur institusi asing ketika ini lebih tertumpu kepada saham bermodal besar, termasuk sektor perbankan, telekomunikasi, perladangan dan utiliti, menyebabkan kebanyakan saham bermodal sederhana bergantung kepada aktiviti dagangan pelabur tempatan.

 

"Sebahagian daripada saham ini berpotensi mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan berkembang menjadi saham bermodal besar dari semasa ke semasa," katanya kepada Bernama.

 

Insentif penyelidikan mampu tingkatkan perhatian terhadap saham bermodal sederhana

Leong turut menggesa supaya liputan penyelidikan dan penglibatan pelabur diperluas bagi meningkatkan keterlihatan syarikat tersenarai yang lebih kecil.

 

Beliau mencadangkan insentif bersasar seumpama Skim Insentif Penyelidikan Bursa Malaysia Plus (Bursa RISE+) bagi menggalakkan firma broker menyediakan liputan penyelidikan terhadap saham bermodal kecil dan sederhana terpilih.

 

Menurutnya, liputan penyelidikan yang lebih meluas, akses kepada pihak pengurusan syarikat serta aktiviti perhubungan pelabur dapat meningkatkan aliran maklumat, sekali gus membantu pelabur menilai prospek syarikat dengan lebih baik.

 

Langkah itu juga berpotensi menyokong proses penemuan harga, meningkatkan kecairan dagangan dan memperbaiki penilaian saham.

 

Kos dagangan lebih rendah mampu tingkatkan kecairan Bursa Malaysia

Leong berkata, Belanjawan 2027 juga perlu menangani kos dagangan yang boleh menjejaskan penyertaan pelabur institusi asing dan pedagang yang kerap melakukan transaksi.

 

Bagi transaksi saham biasa, duti setem dikenakan pada kadar 0.1% daripada nilai transaksi, tertakluk kepada had maksimum RM1,000 bagi setiap kontrak.

 

Fi penjelasan pula dikenakan pada kadar 0.03% daripada nilai transaksi, juga tertakluk kepada had RM1,000 bagi setiap kontrak, manakala fi pembrokeran berbeza mengikut firma broker.

 

Walaupun caj berkenaan tidak terlalu tinggi secara individu, beliau berkata, kesan terkumpulnya boleh menjadi signifikan kepada pelabur yang melaksanakan transaksi berskala besar atau berdagang dengan kerap.

 

Menurutnya, pengurangan duti setem, fi penjelasan dan kos transaksi lain boleh menggalakkan penyertaan pasaran yang lebih meluas serta meningkatkan kecairan dagangan di Bursa Malaysia.

 

Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan pada 9 Oktober ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved