
PETALING JAYA: Vibe Mobile melancarkan perkhidmatan mudah alih gaya hidup baharu di Malaysia menerusi kerjasama strategik bersama U Mobile.
Syarikat peneraju perkhidmatan mudah alih digital itu memanfaatkan rangkaian ULTRA5G U Mobile bagi menawarkan ketersambungan liputan 5G di seluruh negara dan akses dalam bangunan yang komprehensif.
Ketua Pegawai Eksekutif Vibe Mobile, Joseph Lim berkata, penawaran perkhidmatan itu dibina berasaskan prinsip untuk memberikan nilai tambah yang melangkaui penawaran ketersambungan asas.
“Pengguna hari ini mahukan pengalaman yang lebih relevan dan memberi ganjaran. Vibe Mobile menggabungkan ketersambungan, ganjaran dan manfaat gaya hidup supaya setiap langganan memberikan nilai lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi pelancaran itu, Vibe Mobile turut memperkenalkan Vibe Mobile Points, sebuah program kesetiaan yang membolehkan pelanggan mengumpul mata ganjaran daripada langganan dan interaksi harian untuk ditebus dengan pelbagai ganjaran pelancongan serta gaya hidup.
Bagi mengelakkan pembaziran perkhidmatan, perkhidmatan berkenaan turut membangunkan fungsi pemindahan baki data serta perancangan menukar data yang tidak digunakan kepada ganjaran tambahan pada masa hadapan.
Syarikat itu juga sedang meneroka penyelesaian perlindungan siber dan perlindungan peribadi bagi meningkatkan keselamatan digital pengguna.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna U Mobile, Navin Manian berkata, kerjasama itu berupaya memperluas nilai rangkaian ULTRA5G syarikat telekomunikasi berkenaan kepada segmen pasaran baharu.
“Vibe Mobile membawa penawaran gaya hidup yang unik ke pasaran dan kami percaya ini akan menyumbang kepada pilihan serta nilai tambah yang lebih besar bagi pengguna tempatan seiring perkembangan keperluan digital mereka,” katanya. – UTUSAN
The post Vibe Mobile dilancar, guna rangkaian ULTRA5G U Mobile appeared first on Utusan Malaysia.




