
KUALA LUMPUR – Sebuah video berkonsep AI yang memaparkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam suasana penuh emosi kembali tular di TikTok, sekali gus mengundang sebak dalam kalangan netizen susulan pemergian Allahyarhamah.
Video yang dimuat naik oleh akaun Vinustudio (@vinustudio.my) itu telah meraih lebih 745,000 tontonan, sekitar 30,200 tanda suka, 1,128 komen dan 3,700 perkongsian ketika artikel ini ditulis.
Suasana Hitam Putih Tambah Kesan Emosi
Video berdurasi kira-kira 27 saat itu menggunakan visual hitam putih yang memaparkan Tun Dr Mahathir kelihatan termenung dan mengesat air mata, sebelum diselang-seli dengan imej Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah serta babak mereka berpelukan, diiringi muzik yang menyentuh hati.
Pada kapsyen, pencipta video menulis:
“Hilangnya ‘Ibu Negara’ yang amat dikasihi. Terima kasih atas segala jasa dan inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah. Rehatlah dengan tenang di sana. Al-Fatihah.”
TikTok turut memaparkan label “Creator labelled as AI-generated”, menunjukkan video tersebut ditandakan sebagai kandungan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ramai Luah Rasa Sebak
Ruangan komen dibanjiri netizen yang mengakui sukar menahan sebak selepas menonton video berkenaan, malah ada yang mengaku menangis sejak awal pagi kerana terkenang hubungan pasangan itu.
Antara komen yang mencuri perhatian termasuk:
“Sape edit ni Ya Allah. ”
“Dari semalam menangis sampai selesema jadinya. Cinta hingga hujung nyawa. Semoga disatukan di Syurga Allah.”
“Ya Allah meremang tengok. Please jangan edit macam ni.”
“Betul. Tak elok la buat macam ni. Tun Hasmah baru je pergi.”
“Aduhai, menangis lagi awal Subuh ni. Allahuakbar, semoga Tun M terus kuat.”
“Wahai AI, jangan buat saya menangis. Esok apa nak jawab bila anak murid tanya kenapa mata cikgu bengkak?”
“The man who fears no one broke down to tears.”
Ada Yang Anggap Tak Wajar
Di sebalik gelombang emosi itu, terdapat juga netizen yang berpandangan kandungan AI seperti ini tidak wajar dihasilkan terlalu awal selepas pemergian Allahyarhamah.
Ada yang meminta pencipta kandungan menghentikan suntingan sebegitu kerana dianggap boleh menambah kesedihan, manakala sebahagian lagi melihatnya sebagai satu bentuk penghormatan terhadap kasih sayang pasangan yang menjadi inspirasi ramai rakyat Malaysia. – The Malaysian Update
The post Video AI Tun M & Tun Siti Buat Ramai Menangis, Raih 745,000 Tontonan, Ada Yang Minta Henti Edit Sebegini appeared first on The Malaysian Update.






