[VIDEO] Air mata iringi majlis perkahwinan, pengantin terima berita ayah meninggal dunia

8 Sep 2025 • 6:22 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Kegembiraan yang sepatutnya menjadi memori indah buat sepasang pengantin bertukar menjadi detik pilu apabila mereka menerima khabar duka mengenai pemergian ayah kepada pengantin ketika majlis persandingan masih berlangsung.

Situasi penuh emosi itu dirakam dan dikongsikan menerusi akaun TikTok, @Fotorasi, yang memperlihatkan suasana majlis bertukar hiba dengan tangisan ahli keluarga serta tetamu yang hadir.

“Majlis bertukar berduka, ajal maut di tangan Tuhan. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah,” tulis kapsyen video tersebut.

Perkongsian berkenaan meraih simpati ramai dengan ribuan komen membanjiri ruangan hantaran itu. Rata-ratanya mendoakan agar keluarga pengantin diberi kekuatan selain berkongsi pengalaman mereka yang pernah melalui situasi sama.

“Ayah tu lagi penting, bersanding itu adat sahaja. Al-Fatihah,” kata seorang pengguna.

“Majlis menjadi kenangan paling hitam tetapi pengantin dan keluarga tetap kuat hadapi dugaan,” ujar @Butik shaiemy andaman klasik.

“Bang, nasib kita sama. Di hari sanding menjadi hari paling gelap bila seorang ayah meninggalkan kita selamanya. Al-Fatihah abah,” kongsi seorang lagi netizen.

Video tersebut kini terus mengundang rasa simpati orang ramai yang tidak henti menitipkan doa agar keluarga pengantin tabah menerima ujian berat itu.