
KUALA TERENGGANU - Rakan karib Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, menyifatkan pemuda itu sebagai seorang yang sangat baik hati, suka menolong dan sentiasa mengambil berat keadaan rakan-rakan.
Muhamad Alif Ikhwan Nor Affendi Sham, 18, berkata, hubungan akrab mereka terjalin sejak lima tahun lalu memandangkan mereka tinggal di kawasan taman perumahan sama dan bersekolah di sekolah sama.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, arwah dikenali sebagai seorang individu yang tidak pernah berkira dan sering menjadi orang pertama menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan yang dalam kesusahan.
**media[3457876]**
"Saya dapat tahu arwah sudah tiada hari Jumaat lepas. Kali terakhir kami berjumpa dalam tiga hari sebelum kejadian dan saya perasan waktu tu wajah arwah nampak pucat.
"Kelakuannya juga agak berbeza kerana dia lebih banyak berdiam diri, sedangkan sebelum ini arwah seorang yang ceria,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini pada Isnin.
Muhamad Alif Ikhwan yang juga rakan sekerja arwah memberitahu, mereka sebelum ini pernah merancang untuk menunggang motosikal bersama-sama, namun hasrat itu kini tidak kesampaian.
"Motosikal kami sama dan kami pernah bercadang hendak ‘ride’ bersama, tetapi tidak sempat. Saya juga tidak akan lupa kenangan kami pergi ke Tasik Kenyir bersama-sama sebelum ini," ujarnya sayu.
Sementara itu, seorang lagi rakan mangsa, Mohamad Syakir Firdaus, 19, berkata dia mengenali arwah sejak di bangku sekolah rendah sebelum meneruskan persahabatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir.
Katanya, sifat arwah yang mudah didekati dan sering bertanya khabar rakan-rakan membuatkan pemergiannya amat dirasai.
"Arwah memang seorang yang baik dan suka menolong. Kami sudah berkawan sejak sekolah rendah lagi dan kemudian sambung belajar di sekolah menengah yang sama," katanya.
Mohamad Syakir menambah, dia hanya mengetahui berita kehilangan rakannya itu selepas melihat hantaran di status WhatsApp rakan-rakan yang lain.
"Saya nampak kawan-kawan kongsi di status WhatsApp bahawa arwah hilang.
Saya memang terkejut juga," katanya.
Jenazah remaja terbabit yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara di sini kira-kira jam 2.50 petang.
Sebelum ini, Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands untuk bercuti bersama ibu bapa serta empat adiknya sebelum gagal dihubungi.
Mayat mangsa kemudian ditemui bersama motosikalnya di dalam kawasan semak di Kampung Bukit Jeruk, Besut pada petang Ahad.


