![Image from: [VIDEO] Bersepah paku atas jalan hala Cybersouth](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/paku-cybersouth-1024x725.jpeg)
PETALING JAYA – Seorang anggota polis berang selepas menemukan sejumlah paku dan objek logam bertaburan di atas jalan laluan ke Cybersouth, Dengkil, awal pagi semalam.
Perkara itu dikongsikannya menerusi akaun Threads, ujangtakaful551 selain turut memuat naik video yang memaparkan dia bersama rakan anggota sedang mengutip objek berkenaan dari atas jalan.
Menurutnya, objek tersebut ditemukan ketika dia bersama rakannya, Mizi, sedang melakukan rondaan kira-kira pukul 5.30 pagi.
“Tengah ronda nampak berkilat atas jalan, den (saya) dengan Mizi apa lagi kutip la (dan) lempar ke tepi jalan, waktu tu kereta, motor (motosikal) dah mula banyak nak pergi kerja,” katanya.
Lelaki itu turut meluahkan kemarahan terhadap individu yang dipercayai meletakkan objek berkenaan di atas jalan raya kerana perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal.
“Kepada yang punya kerja, kau jangan sampai den (saya) dapat kau, memang makan nasi lemak telur dua kau nanti ya,” pesannya.
Menurutnya, kejadian itu bukan perkara kecil kerana paku yang dipijak tayar motosikal atau kenderaan boleh menyebabkan kebocoran dan berpotensi mencetuskan kemalangan.
“Ini bab keselamatan jalan raya, bocor (tayar) motor (motosikal), kereta orang dan kemudian kemalangan pula, kita semua ada keluarga…ingat tu,” katanya.
Dia turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil menyalurkannya kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, seorang pengguna Threads, Hafizuddin Ghazali meninggalkan komen mendakwa pernah melihat sebuah kereta Perodua Myvi berwarna merah gelap bersama tiga individu di lokasi sama pada awal pagi.
“Tuan, ada sekali hari tu saya balik rumah lewat pukul 3 pagi macam itu. Saya ada nampak sebuah Myvi (Gen 2) warna merah gelap dengan tiga individu dekat tempat yang sama kes tabur paku.
“Saya tak berani nak berhenti tengok apa yang mereka tengah buat sebab saya seorang saja. Saya naik motor masa itu. Saya boleh agak, itu memang kerja kotor mereka bertiga,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Bersepah paku atas jalan hala Cybersouth appeared first on Kosmo Digital.

![Ramai Geram Ada Pihak Tabur Paku Di Jalan Raya, Minta Pihak Berkuasa Pasang CCTV [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/paku-ditabur-di-cybersouth-1.jpg?t=1787034971)




