MADINAH – Jika kebanyakan pasangan pengantin baharu memilih destinasi pelancongan sebagai lokasi berbulan madu, berbeza buat sepasang suami isteri dari Melaka yang menyifatkan peluang menunaikan ibadah haji bersama sebagai hadiah perkahwinan paling bermakna buat mereka.
Wan Amirah Zakirah, 27, dan suaminya, Nur Fakhri Nur Fazil, 28, berkata, peluang menjadi tetamu ALLAH pada musim haji tahun ini hadir tidak lama selepas mereka mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu.
**media[3515996]**
Menurut Wan Amirah, mereka mula berkenalan pada tahun 2020 menerusi seorang rakan sebelum hubungan itu bertambah serius selepas saling mengenali hati budi masing-masing.
“Kami pada mulanya hanya berkawan biasa sebelum mula mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam.
“Alhamdulillah kedua-dua keluarga juga merestui hubungan kami sehingga kami bertunang pada hujung 2024 dan berkahwin pada Julai 2025,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, pemergian ke Tanah Suci kali ini dianggap rezeki besar apabila mereka dapat menunaikan ibadah itu bersama selain ditemani dua adiknya, Wan Amirul Zulfadhli, 26, dan Wan Amirul Zulkarnain, 24.
Katanya, perjalanan simpanan haji bermula sejak tahun 2009 apabila ibunya mendaftarkan dia bersama adik-beradik lain ketika masih kecil.
“Ketika itu saya belum mempunyai pendapatan sendiri, jadi ibu yang menguruskan simpanan melalui potongan gaji.
“Apabila saya mula bekerja, saya mengambil alih tanggungjawab itu dan mula membuat simpanan sendiri,” katanya.
Tambah beliau, amalan menabung untuk menunaikan haji dipupuk sejak kecil selepas melihat nenek serta ibu bapanya menunaikan ibadah tersebut.
“Saya sangat teruja setiap kali melihat suasana orang ramai menghantar jemaah di lapangan terbang.
“Cerita daripada mereka yang pulang dari haji juga membuatkan semangat saya untuk mengumpul duit semakin kuat,” ujarnya.
Menurutnya, kesedaran untuk membuat simpanan awal penting supaya tidak berdepan kesulitan pada saat akhir.
**media[3515997]**
Dalam pada itu, beliau mengakui persiapan sebagai pengantin baharu dan bakal jemaah haji dalam tempoh sama bukan sesuatu yang mudah, namun mereka tidak berdepan cabaran besar kerana sudah memasang niat sejak awal.
“Kami konsisten memastikan wang dimasukkan ke dalam Tabung Haji sama ada melalui potongan gaji atau simpanan terus bagi mencukupkan dana menunaikan fardu haji ini,” katanya.
Wan Amirah berkata, peluang menunaikan rukun Islam kelima bersama suami yang baru dikahwini memberi makna mendalam buat mereka berdua.
“Bahagia sebab dapat menunaikan rukun Islam kelima bersama kerana perasaan itu sukar digambarkan.
“Di sinilah kami belajar erti sebenar membina rumah tangga, bukan sekadar berkongsi bahagia tetapi juga sama-sama mendekatkan diri kepada ALLAH.
“Di Tanah Suci ini kami belajar bahawa perkahwinan bukan hanya tentang cinta sesama manusia, tetapi bagaimana dua hati saling memimpin menuju syurga,” katanya.
Tambahnya, setiap ibadah, doa dan perjalanan yang dilalui bersama sepanjang berada di Tanah Suci mengajar mereka untuk lebih sabar, memahami serta menghargai pasangan masing-masing.
“Sebagai pengantin baharu, pengalaman ini menjadi satu nikmat yang sangat besar buat kami kerana ALLAH mengizinkan kami memulakan perjalanan rumah tangga di tempat paling mulia.
“Harapan kami selepas pulang nanti adalah untuk menjadi suami isteri yang lebih baik, lebih sabar dan lebih dekat dengan ALLAH.
“Kami juga berharap perjalanan haji ini menjadi permulaan terbaik dalam rumah tangga kami selain dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta terus istiqamah dengan segala kebaikan yang dipelajari sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.




