

SHAH ALAM – Pempengaruh juga penyanyi rap, Caprice diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini untuk memohon maaf dan membayar ganti rugi RM220,000kepada pendakwah bebas, Ebit Lew selepas didapati memfitnah plaintif itu pada 2023.
Hakim, Zuhrina Mohamed Nor turut memerintahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, memadamkan tujuh kenyataan yang dibuatnya bersama pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo dalam tempoh 48 jam.
Mahkamah turut melarang penyanyi lagu Lenglui itu daripada mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berhubung Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa akan datang.
Dalam penghakiman sama, mahkamah menolak tuntutan balas Caprice selepas mendapati ia tidak berasas.
Kes berkenaan tercetus selepas Caprice yang juga aktivis kemanusiaan memuat naik rakaman video pada 15 September 2023 dengan menampilkan Mondy sebagai tetamu.
Ebit mendakwa kandungan rakaman itu antara lain membawa maksud beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain melabelnya sebagai tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama menerbitkan rakaman itu secara berniat jahat tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripadanya atau peguamnya.
Penerbitan video berkenaan turut didakwa mengundang pelbagai komen negatif, cacian dan makian daripada pengikut akaun YouTube Caprice terhadap Ebit.
Pada 29 September 2023, polis dilaporkan akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dan fitnah membabitkan Ebit, Mondy Tattoo serta Caprice.
Dalam prosiding itu, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Caprice diwakili Mohd. Rezan Ezra Muhammad Mosinal.
Sementara itu, Ebit menerusi hantaran di Facebook melahirkan kesyukuran susulan keputusan mahkamah berkenaan.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Saya menang saman terhadap Caprice. Beliau diperintah mahkamah untuk memohon maaf atas fitnah dan membayar keseluruhan RM220,000 kepada saya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Caprice diperintah bayar RM220,000, mohon maaf kepada Ebit Lew appeared first on Kosmo Digital.



![Ebit Lew Menang Kes Saman Fitnah, Caprice Diperintah Bayar RM220,000 & Buat Permohonan Maaf [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Ebit-Lew-Menang-Kes-Saman-Caprice-Diperintah-Bayar-RM220000-Buat-Permohonan-Maaf-Video.jpg?t=1786962258)


![[VIDEO] Caprice akan rayu keputusan saman Ebit Lew](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-17-at-3.48.00-PM-1024x634.jpeg)