MAKKAH – Kebajikan jemaah haji terus menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan kemudahan City Check-In (CCI) yang membolehkan mereka menguruskan daftar masuk bagasi lebih awal tanpa perlu membawa beg besar ke lapangan terbang.
Timbalan Pengarah Operasi Pengendalian Jemaah Haji, Mohd Ridzuan Yusoff berkata, kemudahan itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Lembaga Tabung Haji (TH) dan syarikat penerbangan bagi memastikan kelancaran pergerakan jemaah.
**media[3538998]**
Menurut beliau, menerusi sistem CCI, jemaah dikehendaki menghantar bagasi masing-masing 48 jam atau dua hari sebelum waktu penerbangan pulang.
“Ini adalah kemudahan untuk memudahkan jemaah haji supaya mereka tidak perlu membawa beg bagasi sendiri ketika menaiki bas dan bagi urusan daftar masuk apabila tiba di lapangan terbang nanti,” katanya ketika ditemui di sini.
Inisiatif itu secara langsung mengurangkan beban fizikal jemaah, khususnya warga emas yang tidak lagi perlu menguruskan bagasi berat pada saat akhir sebelum penerbangan pulang.
Mohamad Rizuan berkata, sistem CCI bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia dipercayai mula dilaksanakan sejak 2013 hasil maklum balas kakitangan berpengalaman TH.
Menurutnya, sistem berkenaan kini melalui transformasi teknologi yang lebih canggih berbanding sebelum ini.
“Dulu kita tidak mempunyai sistem yang canggih, tetapi sekarang syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) sudah mempunyai sistem tersendiri yang membolehkan urusan daftar masuk dilakukan secara terus (direct check-in) di lokasi CCI ini,” katanya.
**media[3538997]**
Bagi musim haji kali ini, operasi CCI di Mekah melibatkan 47 penerbangan keseluruhannya iaitu 22 penerbangan Saudia dan 25 penerbangan Malaysia Airlines (MH).
Operasi di Makkah telah bermula dan dijangka berakhir pada 14 Jun ini sebelum pasukan yang sama meneruskan operasi di Madinah dengan prosedur 48 jam yang sama.
Tempoh 48 jam itu penting bagi memberi ruang kepada syarikat penerbangan menguruskan logistik ke stor serta melaksanakan proses imbasan setiap bagasi.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar, TH menyediakan tiga kumpulan pemantau yang terdiri daripada tiga hingga empat petugas bagi setiap kumpulan.
Pihak Saudia pula membuka dua kaunter dengan empat petugas, manakala MAS menyediakan empat kaunter yang melibatkan lapan petugas.
Dalam pada itu, Mohamad Rizuan mengingatkan jemaah supaya mematuhi had berat bagasi yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa tiada kaunter bayaran lebihan bagasi disediakan di lokasi CCI seperti di lapangan terbang.
“Sekiranya berat beg melebihi had, jemaah perlu mengeluarkan lebihan tersebut dan menggunakan perkhidmatan pos yang kami sediakan,” katanya.
Jemaah juga dinasihatkan supaya merujuk poster barangan larangan yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Antara barangan yang tidak dibenarkan ialah air zam-zam yang sama sekali tidak boleh dimasukkan ke dalam bagasi.
Bagi pencukur (shaver) dan kipas angin yang mempunyai bateri terbina dalam (built-in battery), barangan tersebut perlu dibawa secara hand-carry dan tidak dibenarkan dimasukkan ke dalam beg besar.
Justeru, jemaah haji diwajibkan mematuhi segala taklimat dan peraturan yang ditetapkan oleh TH serta syarikat penerbangan bagi memastikan perjalanan pulang ke tanah air berjalan lancar.
**media[3539008]**
Sementara itu, seorang jemaah haji dari Seremban, Rosneta Zazid Supeyin, 49, berkata, Tabung Haji (TH) telah menyalurkan maklumat berkaitan urusan daftar keluar dan penghantaran bagasi lebih awal menerusi kumpulan WhatsApp bagi membolehkan jemaah membuat persediaan.
Menurutnya, jemaah turut menimbang sendiri bagasi masing-masing di bilik penginapan sebelum petugas tiba bagi memudahkan proses pengurusan.
“Perkhidmatan ini sangat memudahkan jemaah, terutama warga emas kerana mereka tidak perlu menguruskan beg yang berat pada saat akhir,” katanya.
Beliau menyifatkan perjalanan ibadah haji musim ini berjalan lancar dan tidak seperti yang sering diperkatakan sesetengah pihak.
Walaupun terdapat pelbagai persepsi mengenai cabaran di Mina katanya, keadaan sebenar adalah baik dengan kemudahan tandas, penginapan dan makanan yang mencukupi.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan selesa. Saya sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan sepanjang berada di Tanah Suci dan tidak berdepan banyak cabaran sepanjang menunaikan ibadah haji,” akhirinya.




