Video cecah 3 juta tontonan, TikTok lubuk rezeki Norlia Ghani

EntertainmentLifestyle
6 Nov 2026 • 8:59 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Video cecah 3 juta tontonan, TikTok lubuk rezeki Norlia Ghani

GOMBAK – Enggan namanya terus tenggelam seiring peningkatan usia, pelakon veteran popular, Norlia Ghani kini selesa muncul dalam platform media sosial TikTok.

Menurut Norlia atau nama lengkapnya Norlia Abdul Ghani, platform media sosial popular itu menjadi lubuk dia menjana pendapatan sampingan sementelah tawaran lakonan semakin berkurangan.

“Bila lama tak muncul di kaca televisyen, lama-lama orang lupa kewujudan kita. Tawaran itu ada tapi mama terpaksa memilih. Tenaga kita dah tak macam dulu-dulu.

“Jadi mama kini lebih aktif dalam TikTok. Alhamdulillah sambutan dalam TikTok mama menang bagus. Situlah punca mama mencari rezeki sekarang.

“Ramai yang minta mama buat ‘review’ produk, makanan dan juga inap desa. Ada juga yang undang untuk ke majlis-majlis,” katanya ketika ditemui pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 di sini, semalam.

Tambah pelakon filem Mami Jarum itu lagi, pendapatan yang dijananya menerusi TikTok lebih banyak daripada kerja lakonan.

“Alhamdulillah banyak juga. Bolehlah buat beli barang dapur. Lagipun kerja sebegini lebih mudah. Tak banyak makan masa. Bayaran pun lebih cepat diterima,” kongsinya.

Bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-79 bulan hadapan, kata ibu kepada Rusdi Ramli itu, usia bukan penghalang untuk seseorang mencari rezeki menerusi platform media sosial.

“Ada juga yang cakap-cakap belakang tentang mama aktif dalam TikTok disebabkan usia mama. Pada awalnya salah seorang anak mama pun pernah mempersoalkan. Tetapi lama-kelamaan selepas dia tengok apa yang mama buat dan dapat, dia akhirnya terima.

“Ada video mama yang mencecah 3 juta tontonan. Hasil kolaborasi dengan pencipta kandungan Azlan The Proton Type.

“Pada mama, tiada istilah malu dalam mencari rezeki. Mama cari rezeki yang halal. Kalau ada yang pandang sinis kalau mama joget-joget dengan Gen Z, itu sekadar konten sahaja. Mungkin ada yang tak boleh terima cara sebegitu.

“Tetapi setakat ini, tiada komen negatif yang diberikan pada mama dalam media sosial,” ujarnya.

Norlia juga meluahkan rasa terharu apabila dipilih menjadi salah seorang tetamu jemputan bersama pelawak legenda, AR Badul dalam program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia Ke-35.

Selain berkongsi pengalaman dalam bidang seni bersama pengacara Ahmad Fedtri Yahya, acara tersebut turut menayangkan filem yang dibintangi oleh Norlia dan Badul iaitu Tuan Badul.

“Alhamdulillah mama gembira apabila dijemput oleh pihak Finas dalam acara ini. Sekurang-kurangnya, mereka nampak kewujudan serta peranan mama dalam industri lakonan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Video cecah 3 juta tontonan, TikTok lubuk rezeki Norlia Ghani appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved