[VIDEO] Chegubard hilang kelayakan bertanding PRN Negeri Sembilan

LocalPolitics
10 Jul 2026 • 1:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Chegubard hilang kelayakan bertanding PRN Negeri Sembilan
Image from: [VIDEO] Chegubard hilang kelayakan bertanding PRN Negeri Sembilan
Muhammad Rafique (kanan) ditemui selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, hilang kelayakan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

**media[3577422]**

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, keputusan mahkamah itu menyebabkan Chegubard hilang kelayakan sebagai calon berikutan peruntukan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Peguamnya berkata, pihak pembelaan menghormati keputusan mahkamah itu namun akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat.

"Ketika prosiding pembelaan sebelum ini, kami memohon supaya jumlah denda dikenakan tidak melebihi RM2,000 kerana hukuman denda RM2,000 dan ke atas boleh menyebabkan seseorang hilang kelayakan untuk bertanding berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan denda RM5,000, Chegubard tidak boleh bertanding. Kita akur dengan keputusan mahkamah dan menghormati keputusan itu, tetapi arahan sudah diberikan untuk kita failkan rayuan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan Chegubard sebelum ini dijangka bertanding pada PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung tidak lama lagi selepas ditawarkan kerusi DUN oleh Parti Wawasan Negara, yang baru diterima menyertai Perikatan Nasional (PN).

“18 Julai memang kita nak Chegubard bertanding dan beliau sudah diberikan amanah oleh parti untuk bertanding.

"Namun dengan denda RM5,000, beliau tidak boleh bertanding,” katanya.

Sebelum itu, Chegubard didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Jumaat selepas didapati bersalah atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut, dua tahun lalu.

Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

PRN Negeri Sembilan ke-16, ditetapkan hari penamaan calon pada 18 Julai 2026 manakala hari mengundi pada 1 Ogos 2026.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di media sosial kira-kira jam 6.30 petang, 26 April lalu.

Dalam hantaran itu, Chegubard mengaitkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua individu didakwa taikun judi dengan projek kasino di Forest City.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved