![Image from: [VIDEO] Depan kedai runcit, belakang ada ‘reban’ ayam dan kolam ikan](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-15-at-11.17.00-AM-1024x575.jpeg)
PETALING JAYA – Tindakan warga asing menjalankan kegiatan perniagaan kedai runcit bukan sahaja menyalahi undang-undang malah turut melanggar beberapa syarat lain.
Ini kerana dakwa pengguna, mereka bukan sahaja berniaga tanpa lesen, tetapi juga menjadikan premis tersebut sebagai ‘reban’ dan ‘kolam’ peliharaan ikan.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Mrloco_officials berkata, perkara itu dibongkarkan dalam satu lawatan terjah oleh aktivis dikenali sebagai Abang Koroi atau Awie.mbr.
“Lawatan di jalan Alor KL, macam mana dorang ni dapat kelulusan untuk berniaga ek?
“Di situ la kedai runcit di situ la barber (kedai gunting rambut, di situ la bela ayam hidup di situ jugak la ada kolam ikan. Pihak berkuasa tak kan tak nampak kawasan pusat bandar kot, macam sesuatu je,”soal individu itu.
Berdasarkan klip video yang dikongsi pengguna itu, kelihatan keadaan premis itu pada bahagian hadapan adalah kedai runcit yang dipenuhi barangan keperluan harian.
Bagaimanapun, pada bahagian belakang premis terdapat bilik untuk menggunting rambut, kolam ikan dan ‘reban’ untuk membela ayam hidup.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut mengecam tindakan warga asing tersebut dan mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik premis berkenaan.
“Dahsyat. Orang Melayu baru nk buka payung tak jadi buka weh sebab kena arah tutup. Memang takda lesen kebanyakkan niaga baru nak berjinak.
“Meniaga bukan nak jadi kaya bermewah. Nak cari mkn untuk anak bini. Nak amik lesen kena amik gambar tempat meniaga dulu,”luah Wawasani.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Rahimibz.
“Dahsyat betul ea, orang Melayu baru buka meja nak niaga laju je pihak berkuasa tempatan (PBT) datang halau,”katanya.-KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Depan kedai runcit, belakang ada ‘reban’ ayam dan kolam ikan appeared first on Kosmo Online.


