Video tular gaduh di Tangkak berpunca perselisihan keluarga

25 Mar 2026 • 10:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular perselisihan faham di Jalan Payamas-Tangkak.

TANGKAK – Video tular memaparkan pertengkaran melibatkan beberapa individu di Jalan Payamas-Tangkak di sini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara keluarga.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim berkata, semakan mendapati kejadian berlaku di hadapan kedai buah di jalan utama Muar-Tangkak.

“Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan tiada laporan kemalangan atau kesalahan trafik diterima.

"Difahamkan kedua-dua pihak memilih menyelesaikan perkara itu secara dalaman tanpa melibatkan tindakan polis," katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan.

Terdahulu tular video berdurasi 37 saat memaparkan beberapa kereta berhenti di tepi jalan dan seorang lelaki berang sambil bertikam lidah dengan seorang wanita dan lelaki.

Lelaki terbabit juga dilihat bertindak agresif dengan cuba membuka bajunya, namun ditenangkan orang ramai yang berada di situ.