[VIDEO] ‘Hadiah akhir’ Muhammad Nicklos derma 4 jenis tisu

LocalHealth & Fitness
14 Aug 2026 • 3:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] ‘Hadiah akhir’ Muhammad Nicklos derma 4 jenis tisu

PETALING JAYA – Empat jenis tisu didermakan Allahyarham Muhammad Nicklos Muhammad Nizam menerusi pendermaan organ selepas pemergiannya.

Hospital Sungai Buloh menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, ‘hadiah akhir’ Allahyarham itu memberi harapan baharu kepada sekurang-kurangnya lapan penerima.

Dalam hantaran sama, Hospital Sungai Buloh memberitahu pihaknya merupakan antara empat hospital terlibat dalam proses pendermaan organ dan tisu yang dijalankan serentak semalam, bersempena Hari Pendermaan Organ Sedunia.

“Arwah Muhammad Nicklos Bin Muhammad Nizam telah mendermakan empat jenis tisu yang akan membantu sekurang kurangnya lapan orang insan bertuah,” menurut perkongsian itu.

Pihak hospital turut mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat serta pendermaan tersebut menjadi salah satu asbab untuk ditempatkan di syurga.

Dalam pada itu, proses pendermaan tersebut membabitkan kerjasama pasukan daripada Institut Jantung Negara (IJN), Jabatan Oftalmologi, Jabatan Plastik serta Unit Perolehan Organ dan Tisu Hospital Sungai Buloh.

Hospital Sungai Buloh merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan bantuan dalam menjayakan proses pendermaan berkenaan.

“Seluruh warga hospital Sungai Buloh. Segala kerjasama dan pertolongan daripada pihak tuan amatlah dihargai,” katanya.

Sementara itu, menerusi video dimuat pihak hospital, kelihatan kakitangan bertugas berdiri teli di sepanjang laluan wad ke dewan bedah untuk memberikan penghormatan akhir buat Allahyarham.

Dalam ruangan dewan bedah, barisan pakar, doktor dan jururawat turut meluangkan masa seketika mendoakan kebaikan buat Allahyarham sebelum memulakan proses pengambilan tisu.

Perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian orang ramai yang menitipkan ucapan takziah dan doa buat Allahyarham serta keluarganya.

Seorang pengguna Facebook, Hanney yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Allahyarham mendoakan agar Muhammad Nicklos mendapat ganjaran syurga kelak.

“Semoga abak buah tercinta saya ditempatkan ke syurga oleh Allah SWT. Amin,” katanya.

Amira Falisa pula mendoakan agar Allahyarham ditempatkan di syurga Firdaus.

“Semoga syurga Firdaus tempatmu nak. Agar kuburmu dihiasi taman syurga dan cahaya al-Quran,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Muhammad Zulkarnain merakamkan penghargaan atas sumbangan Allahyarham yang mendermakan empat jenis tisu demi kelangsungan hidup pesakit lain. – KOSMO! ONLINE

 

The post [VIDEO] ‘Hadiah akhir’ Muhammad Nicklos derma 4 jenis tisu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved