![Image from: [VIDEO] Ini bank ke konsert BTS?](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-24-at-10.35.51-AM-1024x629.jpeg)
PETALING JAYA – “Ini bank ke konsert BTS?”
Itu antara reaksi pengguna media sosial selepas sekumpulan peminat BTS atau ARMY Malaysia dilihat sudah memenuhi kawasan hadapan sebuah cawangan Maybank di Shah Alam, Selangor, seawal pagi hari ini.
Lebih mencuri perhatian apabila seorang pekerja lelaki bank berkenaan turut melayan gelagat peminat BTS yang menyanyi beramai-ramai sementara menunggu giliran untuk mendapatkan kad debit edisi terhad BTS World Tour ‘Arirang’.
Menerusi video yang dikongsikan pengguna Threads, Irfanothman, kelihatan sekumpulan ARMY bersorak dan menyanyikan lagu BTS sebelum suasana berkenaan dimeriahkan pula dengan gelagat pekerja bank terbabit.
“Ini bank ke konsert BTS?” tulisnya menerusi hantaran tersebut.
Situasi sama turut dikongsikan pengguna media sosial lain yang menunjukkan peminat sanggup beratur seawal pagi di beberapa cawangan Maybank terpilih pada hari kedua penukaran kad debit edisi terhad berkenaan.
Menerusi perkongsian @nurul_keciq, dia memuat naik gambar keadaan di Dataran Maybank Bangsar sekitar pukul 6.30 pagi yang sudah mempunyai kira-kira 16 peminat beratur.
“Update (kemas kini) 6.30 pagi hari kedua: Dataran Maybank Bangsar 16 orang,” katanya.
Dia kemudian membuat hantaran terkini apabil sekitar pukul 10 pagi sudah lebih 30 peminat BTS memenuhi cawangan berkenaan.
Terdapat juga pengursan bank memainkan lagu-lagu BTS pagi ini sebagai tanda sokongan kepada peminat kumpulan Korea tersebut yang sanggup beratur dan menunggu lama.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan keterujaan ARMY Malaysia itu bukan perkara baharu apabila mereka sanggup beratur seawal pukul 3 pagi di beberapa cawangan Maybank terpilih untuk mendapatkan kad debit keluaran khas berkenaan.
Antara peminat, Nina Enany berkongsi dia mula beratur sekitar pukul 7 pagi di cawangan Bukit Bintang dan berjaya mendapatkan kad tersebut selepas cawangan berkenaan dibuka pada pukul 9.30 pagi.
Turut berkongsi pengalaman, Diahhbahri memaklumkan dia bersama enam lagi peminat menjadi antara tujuh orang pertama beratur di sebuah cawangan sejak pukul 4.30 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Ini bank ke konsert BTS? appeared first on Kosmo Online.





