MELAKA - Suara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyatakan pendirian tidak akan bertanding sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid memberi jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu tidak perlu khuatir mengenai strategi parti dalam menentukan hala tuju menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya dengar apa yang Akmal kata. Kalau kita dengan yang puak sana, dia menawarkan diri untuk tidak bertanding.
“Jangan risau Akmal. Abang tahu apa yang akan abang buat. Abang tahu suara anak muda Negeri Melaka mahukan siapa!” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvoi Bermotor Karnival Anak Muda di MITC, di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Katanya, keputusan terbaik akan dibuat parti bagi memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat Melaka terus terbela.
“Saya tahu pengundi Melaka mahu kita bekerjasama dengan siapa! Tiba masanya, saya tahu keputusan yang terbaik yang akan saya buat demi kepentingan untuk Melaka,” katanya.
Ogos lalu, Muhammad Akmal menegaskan beliau tidak akan bertanding pada PRN Melaka sekiranya BN dan PH bekerjasama pada pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, pendirian itu dibuat kerana lebih mengutamakan prinsip perjuangan berbanding jawatan sebagai wakil rakyat.
Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa PH terbuka untuk membincangkan kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.






