![Image from: [VIDEO] Kecoh dua OKT panjat pagar mahkamah elak ditangkap semula](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/pjt-pagar-1024x710.jpeg)
KULIM – Suasana di Kompleks Mahkamah Kulim, di sini kecoh apabila dua tertuduh kes jenayah yang dalam jaminan tiba-tiba melarikan diri termasuk turun dari tiang aras satu serta melompat pagar mahkamah pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun terbabit bertindak sedemikian bagi mengelak ditahan semula oleh pihak polis bagi kes lain.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku selepas kedua-dua lelaki berkenaan selesai menghadiri prosiding sebutan kes sebelum menyedari kehadiran anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di pintu hadapan mahkamah.
Katanya, kedua-dua tertuduh sebelum itu hadir bagi sebutan kes mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
“Kedua-duanya telah didakwa di Mahkamah Majistret Kulim pada 30 April lalu dan masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dan RM3,000 sementara menunggu proses perbicaraan.
“Selepas selesai urusan sebutan kes serta pengurusan dan serahan dokumen di dalam kamar mahkamah, kedua-dua tertuduh keluar melalui pintu belakang sebelum melihat kehadiran anggota polis di bahagian hadapan mahkamah,” katanya di sini, hari ini.
Kata beliau, salah seorang daripada mereka kemudian melarikan diri dalam kawasan mahkamah sebelum turun melalui tiang dari aras satu, manakala seorang lagi masuk semula ke dalam bangunan dan melarikan diri melalui laluan belakang sebelum kedua-duanya memanjat pagar untuk melepaskan diri.
Kedua-dua suspek kini diburu polis dan video memaparkan kejadian berkenaan turut tular di media sosial, pagi ini. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Kecoh dua OKT panjat pagar mahkamah elak ditangkap semula appeared first on Kosmo Digital.





