
KULIM: Dua orang kena tuduh (OKT) disyaki melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Kulim hari ini termasuk seorang yang nekad turun dari tingkat dua bangunan berkenaan menggunakan tiang bagi mengelak ditahan semula polis.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun disyaki melarikan diri ketika anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan yang melakukan tangkapan semula.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kedua-dua OKT hadir ke Mahkamah Majistret Kulim untuk sebutan semula pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Katanya, kedua-dua lelaki itu baru selesai menghadiri sebutan kes membabitkan pertuduhan di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
“Bagaimanapun, selepas selesai urusan sebutan dan pengurusan kes serta serahan dokumen di dalam kamar mahkamah, kedua-dua OKT keluar melalui pintu belakang.
“Pada masa sama, mereka menyedari kehadiran anggota dari IPD Seberang Perai Selatan yang berada di pintu hadapan mahkamah bagi tujuan tangkapan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syamsul berkata, salah seorang OKT kemudian bertindak melarikan diri di dalam kawasan mahkamah sebelum turun melalui tiang dari aras satu, sementara seorang lagi masuk semula ke dalam bangunan dan melarikan diri melalui laluan belakang kawasan mahkamah.
“Kedua-dua mereka berjaya meloloskan diri dengan cara memanjat pagar,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua OKT sebelum ini telah dituduh di Mahkamah Majistret Kulim pada 30 April lalu dan masing-masing dibenarkan jamin sementara menunggu proses perbicaraan.
Katanya, OKT pertama yang berusia 27 tahun dikenakan jaminan RM4,000, manakala tertuduh kedua yang berusia 31 tahun dikenakan jaminan RM3,000.
“Kedua-dua kes telah ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Jun, 12 Julai dan hari ini bagi tujuan serahan dokumen serta pengurusan kes. Polis kini sedang menjalankan siasatan dan usaha mengesan kedua-dua OKT berkenaan,” katanya. –UTUSAN
The post Dua tertuduh melarikan diri ditangkap polis appeared first on Utusan Malaysia.






