[VIDEO] Kesas ‘bersalji’ rupanya buih sisa sabun

LocalEnvironment
3 Sep 2026 • 11:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Kesas ‘bersalji’ rupanya buih sisa sabun

SHAH ALAM – Sebahagian Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) yang tular bertukar menjadi ‘salji’
petang tadi sebenarnya dipenuhi buih susulan sisa muatan sabun yang tertumpah lebih seminggu lalu.

Keadaan itu dikesan kira-kira sejauh 500 meter (m) di Kilometer 30 hingga Kilometer 30.5 Kesas arah Klang ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.10 petang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati sisa sabun berkenaan dipercayai berasal daripada muatan sebuah lori yang tertumpah pada 24 Ogos lalu di susur Kota Kemuning sebelum memasuki lebuh raya Kesas arah Klang.

Katanya, ketika kejadian tumpahan itu, pihak bomba telah mengambil tindakan dengan menabur serbuk kayu di sepanjang lokasi yang terkesan bagi membersihkan sisa sabun.

“Bagaimanapun, hujan lebat yang berlaku hari ini telah menyebabkan sisa tumpahan sabun itu mengeluarkan sejumlah buih sepanjang kira-kira 500 m,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menambah, pihak konsesi lebuh raya telah mengambil inisiatif membuat pembersihan kali kedua yang berjaya diselesaikan pukul 4.58 petang tadi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan pemandangan luar biasa apabila sebahagian lebuh raya Kesas bertukar putih petang ini mencuri perhatian pengguna jalan raya sehingga ada yang menyangka kawasan berkenaan seperti ‘dilanda salji’.

Beberapa rakaman yang tular di media sosial menunjukkan permukaan lebuh raya diselaputi cecair berwarna putih, selain kelihatan kesan tayar kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan khususnya terhadap penunggang motosikal berikutan keadaan jalan yang dilaporkan licin. – KOSMO! ONLINE

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved