Video Khas Anak Felda: Impian Ucop Berganding Dengan Wan Maimunah Tercapai

LocalEntertainment
14 Aug 2026 • 3:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Impian pelakon versatil, Ucop untuk bergandingan dengan seniwati legenda Wan Maimunah akhirnya tercapai menerusi video khas Generasi Anak Felda.

Bagi Ucop, peluang berkongsi set dengan pelakon yang dikaguminya sejak kecil itu menjadi antara detik paling bermakna dalam perjalanan kariernya.

Image from: Video Khas Anak Felda: Impian Ucop Berganding Dengan Wan Maimunah Tercapai

Menurutnya, Wan Maimunah bukan sahaja seorang seniwati yang disegani, malah mampu mewujudkan suasana seperti berada bersama seorang ibu ketika di set penggambaran.

“Ini kali pertama saya dapat bekerja dengan beliau. Wan Maimunah seorang seniwati yang memang tiada tolok bandingnya.

“Bekerja dengan beliau rasa macam betul-betul ada seorang ibu di set. Beliau tahu macam mana nak mengawal emosi kita mengikut babak. Sangat pemurah bila berlakon dan banyak memberi. Memang seronok bekerja dengan beliau,” katanya.

Image from: Video Khas Anak Felda: Impian Ucop Berganding Dengan Wan Maimunah Tercapai

Ucop berkata, hasrat untuk bergandingan dengan Wan Maimunah sudah lama disimpan memandangkan dia membesar dengan menonton karya lakonan seniwati berkenaan.

“Saya membesar menonton lakonan beliau, terutamanya drama-drama TV3 pada awal 2000-an bersama Haliza Misbun. Saya masih ingat, beliau antara pelakon yang betul-betul boleh buat saya menangis sebagai penonton.

“Bila dah besar dan akhirnya dapat berlakon dengan beliau, memang rasa macam mimpi. Saya sangat bersyukur kerana dunia ini kadang-kadang membawa kita kepada impian yang pernah kita angankan. Alhamdulillah,” katanya.

Ucop dan Wan Maimunah bergandingan menerusi video khas Generasi Anak Felda berdurasi 19 minit yang dimuat naik Exco Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, dengan kerjasama Media Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang.

Image from: Video Khas Anak Felda: Impian Ucop Berganding Dengan Wan Maimunah Tercapai

Naskhah itu mengisahkan perjalanan seorang anak Felda yang berhijrah ke bandar bagi mengejar cita-cita sebelum membuat keputusan untuk pulang ke tanah rancangan demi berbakti kepada ibu bapa serta membangunkan komuniti tempat asalnya.

Sementara itu, Ucop menyifatkan perjalanan kariernya ketika ini sebagai hasil kesabaran dan konsistensi selepas lebih sedekad membina nama dalam pelbagai cabang seni.

“Sejujurnya, apa yang saya buat 10 tahun lalu sebenarnya adalah perkara yang saya memang nak jadi hari ini. Semuanya bermula tanpa niat lain selain mahu menjadi seorang performer.

“Bila saya tengok balik diri saya sekarang, semua ini adalah hasil daripada kesabaran, konsistensi untuk jadi diri sendiri, berani bereksperimen dengan content, artistic direction dan semua benda yang saya belajar dengan cara yang agak sukar.

“Saya sentiasa percaya saya mampu buat sesuatu yang lebih besar walaupun pernah rasa dipinggirkan, rasa tak sama macam orang lain, tak berada dalam senarai dan bukan pilihan utama,” katanya.

Image from: Video Khas Anak Felda: Impian Ucop Berganding Dengan Wan Maimunah Tercapai

Tambahnya, kejayaan dalam industri seni tidak semestinya memerlukan seseorang mengehadkan diri kepada satu bidang sahaja.

"Dulu orang selalu cakap kalau nak berjaya kena pilih satu benda dan duduk dalam kotak itu. Tapi saya tak percaya macam itu.

“Saya rasa kita semua mampu buat banyak perkara. Sebab itu saya buat macam-macam daripada menari, teater, content creation dan berlakon. Bila tengok balik, semuanya macam puzzle yang akhirnya bercantum.

“Saya sangat bersyukur bila ada orang nampak kemampuan kita dan percaya untuk menggunakan servis kita. Itu sendiri satu penghormatan buat saya,” ujarnya. - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved