
PETALING JAYA: “Tak sangka, rupanya penggambaran kami di Perlis hari itu menjadi kenangan terakhir kita bersama.”
Demikian kata pelakon, Rozita Che Wan yang terkesan dengan berita pemergian pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man, pada Rabu.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Rozita atau mesra disapa Che Ta meluahkan rasa sebak atas kehilangan insan yang disifatkannya sebagai antara pelakon senior yang paling dihormati sepanjang bergelar anak seni.
“Ada sesetengah insan, bila bekerja dengan mereka, kita bukan sekadar berkongsi set, tetapi kita berkongsi kenangan. Hari ini, hati saya sangat-sangat sebak.
“Saya kehilangan seorang insan dalam dunia seni yang sangat saya hormati. Setiap kali tahu kami akan berada dalam naskhah yang sama, saya memang sangat-sangat teruja,” katanya.
nyata meninggalkan kesan mendalam kepada ramai rakan artis termasuk pelakon Rozita Che Wan yang. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada Rabu ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah, Kelantan selepas mengalami masalah jantung.
Menerusi hantaran sama, Che Ta turut menyifatkan arwah sebagai seorang insan berperibadi mulia dan tidak lokek berkongsi ilmu setiap kali berpeluang bergandingan bersama.
“Bekerja dengan arwah sentiasa memberi ketenangan. Seorang yang sangat merendah diri, baik tutur katanya, sentiasa membantu dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu,” jelasnya.
Turut menzahirkan penghargaan atas memori manis bersama, pelakon itu mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Terima kasih untuk setiap gelak tawa, setiap nasihat dan setiap memori yang akan saya simpan sampai bila-bila. Pemergian arwah adalah kehilangan yang sangat besar buat industri seni dan buat mereka yang pernah mengenali insan sebaik ini.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa arwah, meluaskan kuburnya, menerangi alam barzakh dan menempatkan arwah di syurga yang tertinggi bersama orang-orang yang beriman.
“Berehatlah dengan tenang. Insya-Allah, kenangan bersama arwah akan sentiasa hidup dalam hati kami,” ujarnya.
Pada Rabu, industri hiburan seni tanah air dikejutkan dengan berita pemergian Cik Man akibat serangan jantung.
Allahyarham yang berusia 68 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.15 petang semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah.
The post Rupanya penggambaran di Perlis hari itu kenangan terakhir kita bersama – Rozita Che Wan appeared first on Utusan Malaysia.






