![Image from: [VIDEO] ‘Kuat macam ini, pokok pun boleh tumbang’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/f77bf076-15f7-41e1-add4-b5d1a41547ab-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – “Takut tengok. Kuat macam ini pokok pun boleh tumbang.”
Demikian reaksi beberapa pengguna media sosial selepas paip air bertekanan tinggi pecah berhampiran Bukit Rangin di Kuantan, hari ini.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh pengguna @ssitinuratik4h, kejadian itu memaparkan air memancut keluar dengan tekanan kuat susulan paip berkenaan pecah.
Situasi tersebut turut mencetuskan kebimbangan orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian, terutama melihat derasnya aliran air yang keluar dari paip berkenaan.
“Kalau ada binatang ke apa lalu, boleh terputus dua badan. Kuat betul tekanan air ni,” kata Hazirah.
Kejadian berkenaan juga memberi kesan kepada penduduk di beberapa kawasan apabila mereka terputus bekalan air sepenuhnya.
“Patut tak ada air dekat rumah. Terima kasih info,” kata @ainszk.
Seorang lagi pengguna, @syuhada_adenan berkata, dia tidak sempat menyimpan bekalan air kerana hanya mengetahui mengenai gangguan berkenaan selepas selesai menguruskan anak pulang dari sekolah.
“Tak sempat tadah air pun. Selesai anak-anak balik sekolah, tengok telefon. Harapnya cepat la selesai,” katanya.
Sementara itu, @mkmn1084 pula mempersoalkan kesan gangguan bekalan air yang turut dirasai penduduk di kawasan Kempadang.
“Pelik, pecah kat Bukit Rangin, air kat Kempadang yang tak ada,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) memaklumkan paip bersaiz 1,200 milimeter jenis MSCL pecah berhampiran kubur Bukit Rangin.
Menurut Paip, kejadian itu berpunca daripada kerja-kerja berkaitan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Pakej 3.
“Pembaikan paip pecah akan dilakukan oleh kontraktor yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan kejadian tersebut, gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan tekanan air rendah dan terputus bekalan dilaporkan berlaku bermula pukul 12.30 tengah hari tadi sehingga 12.30 tengah hari, esok.
Gangguan itu membabitkan kira-kira 50,000 akaun pengguna di sekitar Kuantan.
Antara kawasan terlibat termasuk Jalan Kuantan Bypass, Permatang Badak, Kampung Pandan, Sungai Isap, Taman Bukit Rangin, Kampung Bukit Rangin, Kampung Chendering dan Taman Desa Mesra.
Turut terjejas ialah kawasan sepanjang Jalan Kuantan-Gambang termasuk Taman Sepakat, Kampung Batu 3, Tanah Putih, Medan Warisan, Kampung Kurnia, Kampung Belukar, KUIPSAS, Kampung Air Hitam, Sri Damai, Jaya Gading, Taman Guru dan Taman Tas.
Gangguan turut melibatkan Taman Inderapura, Taman Sri Damai Makmur, Taman Indera Sempurna, Inderapura Jaya, Kampung Seri Melati, Kampung Batu Putih, Kampung Soi, Kampung Kempadang, Kuantan Jaya, Kampung Pak Mahat, Sungai Belat, Kampung Penor, Ubai dan Cheruk Paloh serta kawasan sekitar.
Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Paip di talian 09-573 9999. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] ‘Kuat macam ini, pokok pun boleh tumbang’ appeared first on Kosmo Digital.



![[VIDEO] ‘Sejengkal pun tak lepas, padat sungguh LRT pagi ni’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/LRT-SESAK-PAGI-1024x768.jpeg)
