![Image from: [VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KUCING-KELONG-PULAU-KETAM-1024x768.jpg)
PETALING JAYA – Lebih 15 ekor kucing dipercayai terbiar dalam keadaan kelaparan serta tidak mendapat penjagaan dan makanan mencukupi di kawasan rumah rakit di Pulau Ketam, Klang.
Kejadian itu tular selepas seorang wanita mendakwa melihat video di aplikasi TikTok yang memaparkan lebih 10 ekor kucing dipercayai dianiaya dan ditinggalkan di kawasan rumah rakit berkenaan.
Menurut wanita itu, kira-kira pukul 8 malam Selasa lalu, dia menerima 10 ekor kucing yang diselamatkan dari lokasi berkenaan selepas dimaklumkan rakannya.
Pada Rabu kira-kira pukul 2 petang, dia kembali ke lokasi sama dan menyelamatkan seekor kucing lagi.
Bagaimanapun, dua ekor anak kucing lain dipercayai cedera masih berada di situ, namun wanita berkenaan mendakwa tidak dibenarkan mengambil haiwan terbabit oleh individu di kawasan kelong berkenaan.
Dia turut mendakwa melihat lebih 15 ekor kucing berada di sekitar rumah rakit itu.
Keadaan haiwan berkenaan dipercayai menyedihkan apabila sebahagiannya kelihatan ketakutan dan kelaparan, selain tidak mendapat penjagaan serta bekalan makanan yang mencukupi.
Perkongsian berhubung keadaan haiwan berkenaan turut mengundang reaksi orang ramai yang bersimpati dengan nasib kucing-kucing tersebut.
“Jika dapat snapshot (tangkap layar) tanda nama kelong itu, boleh report (buat laporan) untuk animal cruelty (penganiayaan haiwan). Hukuman berat sebab aniaya binatang. Semoga kucing-kucing dan anjing-anjing di kelong-kelong ini terpelihara kebajikan mereka,” komen Raja ZyLa Gabriella.
“Ya Allah turunkan seberat-berat azab di dunia dan akhirat kepada manusia yang menzalimi haiwan ciptaan-Mu Ya Allah,” komen Ila.
“Lagi dua ekor semalam (kelmarin) tu tak dapat kawan abang selamatkan. Tengah fikir nasib lagi dua ekor tu macam manalah,” kata Marlina. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Lebih 15 kucing terbiar di rumah rakit Pulau Ketam appeared first on Kosmo Digital.





