amree15/10/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt — Nilai aset bersih (NAV) YTL Hospitality REIT meningkat 11.52% kepada RM3.28 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26) disokong peningkatan nilai portfolio hartanahnya di Malaysia, Australia dan Jepun.
Pertambahan itu turut mencerminkan pengukuhan positif nilai aset amanah pelaburan hartanah (REIT) berkenaan, dengan nilai portfolio pelaburannya berkembang kira-kira 8.13% kepada RM5.71 bilion merangkumi sejumlah 19 aset di tiga negara.
Dalam laporan tahunan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia, seiring pertumbuhan nilai aset, kumpulan itu turut mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih tinggi, melonjak 57.58% kepada RM259.42 juta berbanding RM164.63 juta pada FY25.
"Prestasi baik itu membolehkan pengurus dana, Pintar Projek Sdn Bhd, meningkatkan jumlah agihan pendapatan kepada 8.00 sen seunit bagi FY26 berbanding sebanyak 7.75 sen seunit pada tahun sebelumnya," jelas makluman YTL Hospitality REIT.
Sementara itu dalam perkembangan lain ujarnya, pendapatan kumpulan REIT berkenaan juga meningkat kira-kira 4.02% kepada RM570.35 juta, manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) didapati bertambah 7.50% kepada sebanyak RM314 juta.
Bagaimanapun, kenaikan PBT itu sebahagiannya disumbangkan menerusi keuntungan nilai saksama bersih hartanah sebanyak RM107.33 juta, selain faktor pengurangan kos pembiayaan susulan penurunan kadar faedah bagi pinjaman dalam dolar Australia.

Jumlah agihan pendapatan bagi FY26 mencecah RM140.78 juta, mewakili kira-kira 100% daripada pendapatan boleh diagih, dengan kadar pulangan agihan dianggarkan mencecah 7.34%, berdasarkan angka yang dinyatakan dalam laporan tersebut.
"Di Malaysia, yang menyumbang 50% daripada nilai portfolio pelaburan, pendapatan sewaan meraih sokongan menerusi penyewaan penuh AC Hotel Ipoh, Perak serta pelaksanaan perjanjian sewaan baharu bagi AC Hotel Puchong, Selangor mulai April 2026," katanya.
Dalam pada itu, portfolio hotel di Australia, termasuk Sydney Harbour, Brisbane dan Melbourne Marriott, merekodkan pertumbuhan hasil bilik yang kukuh, disokong acara sukan dan hiburan serta pemulihan pelancongan antarabangsa dan segmen korporat.
Di Jepun pula, YTL Hospitality REIT merancang pembangunan hotel Moxy Niseko di Hokkaido dengan anggaran kos 6.38 bilion yen, bersamaan kira-kira RM199 juta, bagi memanfaatkan peluang luas pertumbuhan pelancongan sukan ski antarabangsa.
Kumpulan berkenaan turut mengambil pelbagai langkah bagi memperkukuh struktur modal menerusi cadangan terbitan persendirian sehingga 90 juta unit baharu yang sudah mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia pada Mac 2026.
Bagi tempoh akan datang, pengurusan memberi tumpuan kepada pengurusan aset secara proaktif dan pelaburan berdisiplin untuk mengekalkan kestabilan pendapatan serta nilai jangka panjang kepada pemegang unit," katanya. - DagangNews.com






