![Image from: [VIDEO] Malaysia, Singapura tidak ambil oksigen dari Indonesia](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/faezal-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – Malaysia dan Singapura tidak bergantung kepada Indonesia untuk bekalan oksigen kerana gas itu tersebar di atmosfera dan tidak dimiliki secara eksklusif oleh mana-mana negara.
Perkara itu dijelaskan pempengaruh dan penulis bidang analisis geopolitik, sejarah, ekonomi serta isu global, Ahmad Faezal menerusi perkongsian mengenai proses fotosintesis dan kitaran oksigen yang dikaitkan dengan dakwaan Indonesia sebagai penyumbang oksigen kepada negara lain.
Menurut beliau, tumbuhan menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis dengan bantuan cahaya matahari, namun pada masa sama turut menggunakan oksigen untuk proses respirasi sepanjang siang dan malam.
“Hutan bukan satu-satunya penyumbang oksigen dunia kerana organisma fotosintetik di lautan seperti fitoplankton, alga dan sianobakteria turut memainkan peranan penting.
“Jumlah oksigen yang dihasilkan tumbuhan tidak boleh disamakan dengan pertambahan bersih oksigen di atmosfera kerana manusia, haiwan, tumbuhan dan mikroorganisma turut menggunakan oksigen untuk bernafas.
“Proses pereputan bahan organik serta pembakaran hutan juga menggunakan oksigen dan membebaskan karbon dioksida, sekali gus perlu diambil kira dalam menilai sumbangan bersih sesebuah kawasan hutan,” jelasnya.
Sehubungan itu, dakwaan bahawa Indonesia menghasilkan lebihan oksigen untuk kegunaan negara lain perlu disokong data saintifik yang mengambil kira keseluruhan kitaran oksigen dan karbon.
Menurut Ahmad Faezal yang juga pencipta kandungan berkata, tiada statistik bebas dikemukakan dalam hujah berkenaan bagi membuktikan Indonesia mempunyai lebihan bersih oksigen yang menjadi bekalan khusus kepada Malaysia dan Singapura.
Oksigen di atmosfera sentiasa bercampur dan bergerak merentasi sempadan negara. Molekul oksigen yang dihasilkan di Indonesia boleh sampai ke Malaysia, begitu juga oksigen yang dihasilkan di Malaysia boleh tersebar ke Indonesia.
Keadaan itu berbeza dengan bekalan elektrik yang boleh disalurkan secara khusus melalui rangkaian penghantaran antara negara, termasuk bekalan elektrik dari Sarawak ke Kalimantan.
Ahmad Faezal menegaskan bahawa sumbangan hutan kepada alam sekitar global tidak bermakna sesebuah negara memiliki oksigen yang digunakan negara lain kerana atmosfera merupakan sistem semula jadi yang dikongsi seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Malaysia, Singapura tidak ambil oksigen dari Indonesia appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Bakar hutan sumbang bekalan oksigen kepada Malaysia, Singapura](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/kebakaran-hutan-indonesia-2-1024x546.jpeg)



