
SINGAPURA – Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff menyelar dakwaan tidak masuk akal sesetengah pihak yang menuduh pasukannya mengamalkan sikap berat sebelah dengan melebih-lebihkan Kimi Antonelli berbanding George Russell.
Wolff tanpa berselindung menyifatkan mana-mana individu yang mempercayai teori konspirasi itu sebagai ‘tidak berotak’ dan meminta mereka beralih menonton rancangan kanak-kanak berbanding perlumbaan Formula Satu (F1).
Khabar angin itu tercetus selepas jurang mata kejuaraan antara kedua-dua pemandu terbabit kini dipisahkan 84 mata memihak kepada Antonelli susulan kegagalan unit kuasa yang memaksa Russell menarik diri (DNF) buat kali ketiga musim ini pada perlumbaan terdahulu di Malaysia.
“Mereka yang berfikir sedemikian langsung tidak berotak. Ia dakwaan yang mengarut sama sekali. Kami pernah berdepan situasi sama dengan peminat Lewis (Hamilton) sebelum ini.
“Adakah mereka fikir saya mempunyai butang khas bertulis ‘enjin George rosak sekarang’? Atau sengaja merugikan pemandu sendiri ketika kami sedang bersaing merebut Kejuaraan Pengeluar?. Daripada mereka menonton F1, lebih baik mereka tonton Teletubbies atau Mickey Mouse,” katanya.
Wolff menjelaskan bahawa pasukannya sejak dahulu lagi mengekalkan prinsip integriti dan ketelusan dengan menyediakan jentera serta peluang yang sama rata kepada setiap pelumba.
Beliau turut mengimbas perbualannya bersama legenda F1, Alain Prost, mengenai ketegangan politik dalaman ketika era bersama Ayrton Senna yang menjadi pengajaran berguna buat dirinya dalam menguruskan keharmonian pasukan.
“Kimi bersama kami sejak berusia 11 tahun dan Russell pula menyertai kami ketika umurnya 17 tahun. Hubungan kami sangat rapat. Jadi, agak menjengkelkan apabila ada segelintir ‘orang gila’ di media sosial yang tidak faham dinamik pasukan melemparkan tuduhan seperti ini.
“Paling penting, George dan Kimi tahu bagaimana pasukan beroperasi dan kami sentiasa memberi peluang yang adil kepada kedua-duanya,” ujarnya. – AGENSI
The post F1: Wolff nafi Mercedes ‘anak tirikan’ Russell appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] ‘Pasta, fish and chips’ makanan kegemaran Kimi, Russell di Singapura](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-08-at-9.00.05-PM-1024x768.jpeg)


