BATU PAHAT – “Ayah sempat membuat panggilan video kepada anak-anaknya dan meminta kami pulang ke kampung.”
Demikian permintaan terakhir seorang pesara tentera, Ab Shukor Athan, 68, kepada anak-anaknya menerusi panggilan video dalam kumpulan WhatsApp keluarga selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 107, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Yong Peng, pada Sabtu.
Anak sulung mangsa, Mohd Zaharuddin Ab Shukor, 45, berkata, dia menerima panggilan video daripada bapanya kira-kira jam 5.30 petang ketika sedang bekerja sebagai tukang masak di Singapura.
**media[3688929]**
Menurutnya, dia tidak dapat melihat wajah bapanya dengan jelas ketika panggilan itu dibuat, sebaliknya hanya mendengar suaranya selain bunyi bising di lokasi kejadian.
“Tak nampak wajah ayah, cuma nampak kakinya. Saya dengar suara ayah dan bunyi bising di belakang.
“Ayah cuma minta anak-anaknya pulang ke kampung kami di Kluang.
“Selepas itu, telefon seperti terjatuh sebelum seorang wanita bercakap dan memaklumkan mengenai nahas tersebut,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, pada Ahad.
Zaharuddin berkata, dia bergegas pulang dari Singapura ke Johor Bahru sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Menurutnya, tiada perubahan sikap ditunjukkan oleh kedua-dua ibu bapanya ketika dia pulang ke kampung dua minggu lalu.
“Kebiasaannya ayah dan ibu gemar bermalam di rumah anak-anak kerana kami 10 beradik tinggal berjauhan.
“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini dan jenazah akan dikebumikan di Kampung Seri Lalang, Kluang,” katanya.
Dalam kejadian itu, Ab Shukor dan isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta cucu mereka, Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi cucu pasangan itu, Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, 1, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Yaani, Yong Peng.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata, nahas itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger, sebuah treler dan Toyota Vios.
**media[3688930]**
Menurutnya, Ford Ranger berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin.
Pelanggaran itu menyebabkan Ford Ranger berpusing sebelum dilanggar Toyota Vios yang datang dari arah belakang.
Pemandu Ford Ranger, Jumie Julong, 35, dan isterinya, Nor Hakimah Zakiah Ab Shukor, 32, mengalami kecederaan parah di kepala.
Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Zariff Hakimie Jumie, 2, dan Muhammad Zafrul Hakimie Jumie, 3, turut cedera dan menerima rawatan di HSNI, dengan seorang daripada mereka ditempatkan di Zon Merah.
Pemandu Toyota Vios, Chin Nyet Boon, 46, dan ibunya, Yong Ah Moi, 81, turut mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu treler, Mohd Nadzri Abd Wahab, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat kesemua mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik HSNI untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






![[KEMAS KINI] Bapa sempat ‘video call’, minta anak-anak pulang sebelum meninggal](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/photo-output-25-1024x813.jpeg)