![Image from: [VIDEO] Penduduk Batam terkejut air paip keluar cacing halus](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/batam-air-1024x768.jpeg)
BATAM – Penduduk di beberapa wilayah di sini gempar apabila bekalan air bersih domestik yang disalurkan ke rumah mereka didapati tercemar dengan kehadiran cacing halus berwarna merah dan jentik nyamuk sejak kelmarin.
Isu kualiti air itu menjadi tular di media sosial selepas beberapa penduduk memuat naik klip video memaparkan air paip yang bertukar menjadi hitam pekat, selain dipenuhi ulat dan cacing halus selepas ditapis.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas teruk termasuklah daerah Batu Ampar, Nagoya, Tiban, Bengkong, Batu Besar, dan Sagulung.
Seorang penduduk di Sagulung mendakwa, dia menyedari kehadiran cacing halus tersebut ketika mahu menampung air dari keran rumahnya.
“Air bukan sahaja keruh, malah ada cacing hidup yang keluar dari paip. Keadaan ini menyebabkan kami berasa geli dan bimbang untuk menggunakannya bagi aktiviti harian, malah ada yang mula mengadu mengalami kegatalan kulit selepas mandi,” katanya lapor portal Batamnews.co.id
Sementara itu, Badan Pengusahaan (BP) Batam bersama syarikat pengendali air, tampil memohon maaf secara terbuka berhubung insiden pencemaran yang mencetuskan keresahan ramai itu.
Pihak pengurusan menjelaskan, kehadiran bendasing dan cacing tersebut dikesan berlaku ekoran insiden paip bocor yang berlaku sebelum ini.
Kotoran luar dan hidupan organik dilaporkan telah menyusup masuk ke dalam sistem saluran paip utama apabila proses pembersihan atau flushing tidak dilakukan dengan sempurna selepas kerja-kerja pembaikan selesai.
Susulan kejadian itu, pasukan teknikal telah digerakkan ke beberapa lokasi bagi melakukan proses normalisasi dan pembersihan sistem perpaipan secara menyeluruh bagi memastikan kualiti air kembali selamat digunakan oleh pengguna. – Agensi
View on Threads
The post [VIDEO] Penduduk Batam terkejut air paip keluar cacing halus appeared first on Kosmo Online.





