[VIDEO] Penganjuran World #QuranHour tepat sebagai medium dakwah

4 Mar 2026 • 2:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Yusnita (tengah) bersama kakitangan Yadim dan wakil PRNNK memegang risalah World #QuranHour.

KOTA BHARU – Penganjuran World #QuranHour yang bakal berlangsung serentak seluruh dunia pada 11 Mac ini disifatkan sebagai medium dakwah yang tepat dalam memperkukuh pendidikan al-Quran kalangan masyarakat.

**media[3452604]**

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Yusnita Muhamed Yusoff berkata, fungsi Yadim yang luas sebagai agensi dakwah di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut melibatkan program berteraskan al-Quran dalam mendekati masyarakat.

“Program tadabbur World #QuranHour juga satu usaha dakwah yang sangat murni kerana dakwah bukan sekadar ceramah, tetapi bagaimana kita mengembalikan masyarakat kepada Kalam ALLAH dalam setiap aspek kehidupan.

“Konsep syukur, hormat ibu bapa, menjauhi kemungkaran, semuanya diajarkan dalam al-Quran,” katanya ketika ditemui dalam Siri Jelajah Kempen oleh Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di pejabat Yadim Kelantan di sini pada Rabu.

Turut hadir, Naib Pengerusi PRNNK, Aziah Zawawi dan Ketua Biro Media, Surena Mohd Noor.

Menurut Yusnita, World #QuranHour bukan hanya memberi impak dari sudut pendidikan, malah menjadi ruang mengukuhkan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam secara menyeluruh.

“Kami sememangnya mahu pendedahan kepada al-Quran ini bermula dari peringkat sekolah rendah lagi.

“Apabila program melibatkan al-Quran seperti tadarus atau khatam, Yadim juga sering menjadi antara agensi yang sinonim untuk turut serta,” katanya

Mengulas pemilihan surah al-Muzzammil tahun ini, Yusnita berkata, surah tersebut membawa mesej simbolik yang mendalam terhadap keadaan masyarakat masa kini.

“Seruan ‘wahai orang yang berselimut’ bukan sekadar merujuk kepada orang tidur, tetapi satu metafora kepada keadaan lalai.

“Dunia hari ini banyak gangguan dan kelalaian. Jadi seruan itu mengajak kita bangkit memperbaiki diri dan kembali kepada al-Quran,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan masyarakat perlu bermula dengan pembinaan individu, selari dengan tema tahun ini, Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia.

“Kalau asas solat dan hubungan dengan al-Quran tidak kukuh, maka sukar untuk kita membentuk masyarakat yang sejahtera bahkan akan banyak masalah sosial berlaku kerana teras agama tidak diperkasakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Yadim Kelantan sentiasa turun padang menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, usahawan desa, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti asnaf dan institusi pemulihan.

Tahun lalu sahaja, pihaknya melaksanakan lebih 500 program dakwah dan kebajikan, manakala sasaran tahun ini sekitar 300 program dengan tumpuan kepada pendidikan serta pengukuhan nilai.

“Semua gerak kerja dakwah akhirnya kembali kepada al-Quran.

“Sebab itu program seperti World #QuranHour ini relevan dan wajar diperkasakan sebagai antara platform utama mendekatkan masyarakat dengan kitab suci,” katanya.