![Image from: [VIDEO] Pura-pura joging sebelum cuba buka pintu kereta](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-18-at-11.26.24-AM-1024x658.jpeg)
PETALING JAYA – Seorang pengguna Threads mendakwa seorang lelaki yang dilihat seolah-olah sedang berjoging cuba membuka pintu keretanya sebelum dipercayai turut menceroboh beberapa rumah di sekitar Persiaran Balau, Setapak, Kuala Lumpur.
Pengguna Threads @mrstirfriedd mendakwa kejadian berlaku ketika dia sedang berehat di dalam kereta selepas melalui kesesakan lalu lintas, sebelum menyedari seorang lelaki warga asing cuba membuka pintu belakang kenderaannya.
Menurutnya, pintu kereta ketika itu berkunci dan enjin masih hidup menyebabkan dia terus memandu selepas menyedari perbuatan lelaki terbabit.
“Nasib kereta aku berkunci dan enjin hidup, aku terus pandu,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Kata pengguna tersebut, sebelum lelaki warga asing itu menghampiri keretanya, individu berkenaan turut dilihat cuba memasuki kawasan rumah saudaranta dan beberapa kediaman jiran berhampiran.
“Laju betul dia lari macam Usain Bolt. Dia ikut jalan sempit tadi masa aku nak rakam muka dia,” katanya.
Pada masa sama, dia mengingatkan penduduk di kawasan sekitar supaya lebih berwaspada selain segera mendapatkan bantuan rondaan keselamatan.
Hantaran tersebut turut menerima pelbagai reaksi pengguna lain yang berkongsi kebimbangan mengenai keselamatan penduduk setempat.
“Apa ini? Takutnya,” kata Zatyra_28.
“Baru tadi nampak dia dekat simpang Balai Polis Setapak, seluar sama, pegang botol air tu cuma pakai baju kemeja, dia tahan bus tapi bus tak berhenti,” kongsi pengguna @sOleepy.
“Memang kita akan terus kunci kereta, takut macam ini la…siap ajar anak-anak (cara) kunci kereta juga. Benda nak jadi tak tahu, seram…bahayanya,” komen Mastura Khairuzaman. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Pura-pura joging sebelum cuba buka pintu kereta appeared first on Kosmo Online.






