
KUALA LUMPUR – Suasana sunyi waktu malam sememangnya cukup membuatkan bulu roma meremang, namun sebuah video tular di Threads ini pula dikatakan membuat ramai netizen terus hilang rasa mengantuk selepas menontonnya.
Seorang pengguna Threads, @mn_nazmi, berkongsi satu rakaman video menyeramkan yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian tersebut, lelaki berkenaan mendakwa seorang individu mahu merakam suasana bilik tidur rumah sewa baharunya untuk dihantar kepada ibunya.
Namun, keadaan bertukar seram apabila ibunya meminta dia segera keluar dari rumah itu selepas menonton rakaman tersebut.
“Cerita dia macam ni lelaki ni nak hantar video suasana bilik tidur dia yang baru sewa nak hantar bagi mak dia. Pastu dia terus send video tu mak dia suruh keluar dari rumah tu. Bila dia check video tu balik…,” tulisnya pada kapsyen hantaran berkenaan.
Kelibat Misteri Bawah Katil?
Apa yang lebih mencetuskan tanda tanya, ramai netizen mendakwa terlihat satu sosok kecil menyerupai budak perempuan muncul secara tiba-tiba dari bawah katil dalam video tersebut.
Rakaman itu bukan sahaja mengundang rasa seram, malah turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen apabila ada yang mempertikaikan sama ada video berkenaan benar-benar asli atau sekadar hasil suntingan AI.
Dalam masa sama, ramai juga mengakui mereka terus berasa tidak senang duduk selepas menonton video tersebut, terutama pada waktu malam.
Netizen Berderau Tengok Video
Di ruangan komen, seorang netizen mengakui dia terus sukar melelapkan mata selepas menonton video itu kerana sedang berpantang dan tidur bersama anaknya.
Malah, dia turut mendakwa suaminya sebelum itu terdengar bunyi seperti gelak halus di luar rumah, sekali gus membuatkan suasana menjadi lebih menyeramkan.
Tidak kurang juga yang berseloroh mengatakan mereka terpaksa tidur dengan lampu terbuka selepas menonton rakaman tersebut, manakala ada juga yang cuba menceriakan keadaan dengan bergurau kononnya hantu tidak boleh bersembunyi di bawah katil kerana ruang itu sudah dipenuhi barang.
Seorang lagi netizen turut berkongsi dia menonton video berkenaan sekitar pukul 3 pagi selepas keluar dari tandas dan mengakui darahnya terus berderau ketika itu.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada video tersebut tulen atau sekadar suntingan semata-mata, namun ia terus menjadi bualan hangat dalam kalangan warga maya. – The Malaysian Update
The post Video Seram Bawah Katil Buat Netizen Tak Senang Duduk appeared first on The Malaysian Update.




