MELAKA – Seorang lelaki berstatus suami orang dan wanita yang juga isteri orang mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis atas kesalahan melakukan percubaan persetubuhan haram, sebelum masing-masing dikenakan denda sehingga RM5,000.
Tertuduh, Hairul Mokhsin Zaini, 24, dan Siti Iqbar Mazlan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Daud.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didapati melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan yang bukan suami atau isteri yang sah di sisi syarak.
ARTIKEL BERKAITAN: Sebar video lucah bekas suami, wanita didenda RM2,800
Kesalahan itu dilakukan antara 1 hingga 30 Jun 2025 kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam dalam daerah Melaka Tengah.
**media[3547977]**
Mereka didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, Siti Iqbar yang merupakan ibu kepada dua anak menangis dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan serta tidak mengenakan hukuman penjara terhadapnya.
Menurutnya, dia sudah empat bulan tidak bekerja kerana menanggung malu akibat kes tersebut selain mendakwa dipulaukan ahli keluarga.
“Saya benar-benar menyesal dan sudah lama tidak lagi berhubung dengan tertuduh lelaki,” katanya.
Sementara itu, Hairul Mokhsin turut merayu agar dikenakan denda minimum dan tidak dipenjarakan kerana perlu menyara dua anak yang masih kecil serta membantu isterinya berniaga nasi lemak.
Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan tidak tetap mengakui kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Dalam hujahan pemberatan, Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang dibantu Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran serta bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.
**media[3547978]**
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Hairul Mokhsin mempunyai rekod kesalahan lampau apabila pernah dirujuk ke Mahkamah Syariah atas kesalahan bersubahat dalam kes hamil luar nikah.
Kes itu diselesaikan pada 6 September 2023 dan dia dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara 15 hari.
Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan Hairul Mokhsin didenda RM5,000 manakala Siti Iqbar didenda RM4,500. Kedua-duanya berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
**media[3547979]**
Terdahulu, isteri Hairul Mokhsin, Puteri Norfatimah Ishak, 25, didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Isnin lalu selepas mengaku bersalah menyebarkan gambar dan video lucah membabitkan suaminya bersama Siti Iqbar pada Disember tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Sebar video lucah bekas suami, wanita didenda RM2,800
Bagi kesalahan itu, Puteri Norfatimah didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, wanita itu memaklumkan dia bertindak demikian dalam keadaan emosi selepas baharu mengalami keguguran.
**media[3547976]**






