[VIDEO] Suspek pukul isteri hingga keguguran disiasat kes tanam janin

LocalFamily & Parenting
5 May 2026 • 2:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Suspek pukul isteri hingga keguguran disiasat kes tanam janin
Image from: [VIDEO] Suspek pukul isteri hingga keguguran disiasat kes tanam janin
Adzli (dua dari kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah pada Selasa.
Image from: [VIDEO] Suspek pukul isteri hingga keguguran disiasat kes tanam janin
Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Gufran, Alor Setar.

ALOR SETAR – Lelaki yang disyaki memukul isterinya hingga parah dalam satu kejadian di Ambangan Heights, Sungai Petani, kini disiasat dalam kes menanam janin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Gufran di sini pada 2 April lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, janin itu dipercayai kandungan isterinya yang berusia 12 minggu dan gugur selepas suspek memukul mangsa.

Menurutnya, polis telah membawa suspek berusia 43 tahun dan isterinya ke lokasi berkenaan bersama pasukan forensik untuk melakukan penggalian pada Khamis lalu.

“Polis membawa suspek bersama isterinya, iaitu mangsa berusia 39 tahun untuk menunjukkan lokasi janin itu ditanam. Kita bawa pasukan forensik dan gali. Namun, kita menemui seperti tisu kering yang tidak menyerupai janin.

“Kita telah menghantar sampel ke Jabatan Kimia untuk mengesahkan sama ada itu janin ataupun sel manusia. Jika disahkan, kita akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 318 kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Selasa.

**media[3511105]**

Jelas Adzli, pihak polis juga meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa suspek untuk tampil membantu siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita hamil terpaksa menanggung derita berganda apabila mendakwa bukan sahaja dipukul tanpa belas kasihan oleh suaminya, malah kehilangan kandungan berusia 12 minggu akibat kejadian tersebut.

Mangsa yang juga penjawat awam dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim selepas mengalami kecederaan termasuk patah tangan dan jari kiri, selain lebam di muka serta kecederaan di bahagian perut.

Wanita tersebut didakwa dipukul menggunakan pelbagai objek termasuk penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu dalam pertengkaran yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari.

Pada 28 April, polis menahan suspek di sebuah inap desa di Alor Setar dan direman tujuh hari untuk membantu siasatan.