
Semalam (24 Oktober) -- viral di media sosial apabila bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang kini dipenjara, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba-tiba kembali menjadi bualan netizen.
Ini apabila tular video rakaman yang memaparkan temubual Datuk Seri Najib yang disiarkan RTM.
Ramai yang mempertikaikan bagaimana seorang banduan yang kini berada di Penjara Kajang boleh dibenarkan untuk membuat rakaman video di dalam premis penjara.

Bagaimanapun, menurut laporan media hari ini -- Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan bahawa Datuk Seri Najib itu dilakukan di dalam bangunan penjara.
"Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa tiada apa-apa rakaman video yang membabitkan Najib dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara seperti mana yang ditularkan.
"Hasil semakan menunjukkan video terbabit sudah dirakam lebih awal oleh pihak RTM sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 iaitu sebelum Najib dipenjarakan.
"Video ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 (semalam) menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik," katanya melalui kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Jabatan Penjara Malaysia meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.
"Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab," katanya merujuk pautan sebahagian rakaman program berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa -- sebelum ini memaklumkan kementeriannya menerbitkan travelog Kembara Keluarga Malaysia, satu dukungan kepada konsep Keluarga Malaysia yang diperkasakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tiga skop utama yang akan dipaparkan melalui travelog itu adalah alam semula jadi, kehidupan manusia dan juga pembangunan, mula ditayangkan di saluran RTM menerusi TV1 pada penghujung Mei lalu.

Sumber: Berita Harian




