“Video Terakhir…” – Perkongsian Semula TikToker Nazirul Hakim Undang Sebak, Ramai Tak Sangka Arwah Sudah Tiada

LocalEntertainment
30 Jan 2026 • 7:35 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kadang-kadang kita scroll media sosial sekadar untuk hiburan. Ketawa tengok video pendek, lalu begitu sahaja tanpa fikir panjang.

Tapi ada satu ketika, muncul satu rakaman yang buat jari terhenti… hati tiba-tiba berat.

Itulah perasaan ramai apabila tular semula sebuah video yang dikatakan merupakan rakaman terakhir pempengaruh TikTok tempatan, Nazirul Hakim Arman, sehingga mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Perkongsian tersebut dimuat naik menerusi Threads oleh akaun @aehomesdecor dengan kapsyen menyentuh perasaan, “Video terakhir dari seorang pempengaruh Tiktokers Malaysia.”

Lebih menyayat hati, video itu diiringi lagu klasik Di Mana Kan Ku Cari Ganti, membuatkan ramai yang menonton mengaku sayu, seolah-olah memahami maksud tersirat di sebalik detik terakhir tersebut.

Untuk rekod, Nazirul Hakim Arman dilaporkan telah meninggal dunia pada 29 Disember 2024 pada usia 29 tahun. Difahamkan, arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Ruangan komen dipenuhi ucapan takziah

Berita itu nyata mengejutkan ramai, terutama pengikut setianya di TikTok.

Menjengah ke ruangan komen, suasana bertukar pilu apabila rata-rata meluahkan rasa tidak percaya. Seorang pengguna mengakui masih sukar menerima hakikat pemergian arwah kerana terlalu menyukai kandungannya, sambil menghadiahkan Al-Fatihah buat Nazirul.

Ada juga yang baru mengetahui berita tersebut dan tertanya-tanya punca sebenar arwah meninggal dunia, sambil menitipkan ucapan innalillahiwainnailaihirojiunn.

Malah, ada netizen yang datang kembali menziarahi akaun berkenaan bertahun kemudian, sekadar meninggalkan jejak rindu dengan catatan ringkas, “30 January 2026, saya datang lagi :)”.

Seorang lagi pengguna turut berkongsi bahawa dia baru mengetahui pemilik akaun tersebut sudah tiada dan mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga.

Bagi yang mengikuti perjalanan kandungannya, Nazirul dikenali sebagai seorang yang ceria dan sering berkongsi video santai serta menghiburkan. Tak hairanlah ramai yang berasa seperti kehilangan seorang kenalan rapat.

Kini, yang tinggal hanyalah rakaman-rakaman lama di media sosial, menjadi kenangan terakhir buat mereka yang pernah tersenyum dengan kehadiran arwah di skrin telefon.

Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah. – The Malaysian Update

The post “Video Terakhir…” – Perkongsian Semula TikToker Nazirul Hakim Undang Sebak, Ramai Tak Sangka Arwah Sudah Tiada appeared first on The Malaysian Update.