KLUANG - Detik menyayat hati menyelubungi tragedi tiga beranak yang maut dalam kebakaran di Taman Titiwangsa di sini apabila dua beradik ditemukan berpelukan di sisi ibunya.
Bapa, Khairul Nizam Wahid, 50, berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh anggota bomba yang menemukan ketiga-tiga mangsa di dalam bilik tingkat atas kediaman terbabit.
“Mereka ditemui berhampiran tingkap, tiga-tiga pergi sekali, semoga mereka mati syahid,”. katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di sini pada Khamis.
**media[3642749]**
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, dua anak lelaki maut dalam kebakaran rumah
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kejadian yang berlaku jam 10.44 malam itu meragut nyawa, Noraini Ibrahim, 49, bersama dua anak lelakinya, Khairul Nur Haziqq Khairul Nizam, 18, dan Khairul Nur Hadiff, 11.
Bercerita lanjut, Khairul Nizam berkata, ketika kejadian, dia baru pulang ke rumah jam 10.30 malam selepas keluar minum bersama dua jirannya di restoran berhampiran.
Menurutnya, ketika memasuki rumah, dia terkejut selepas ternampak api kecil pada sofa di ruang tamu.
**media[3642755]**
“Saya terus menarik sofa itu dan tiba-tiba api dah marak, isteri sempat menghubungi saya bertanya apa yang berlaku, saya jawablah rumah terbakar beberapa kali dan kemudiannya dia terus senyap.
“Saya cuba hendak buka pintu dapur tapi gagal sebab asap dah terlalu tebal jadi saya pun tidak dapat naik ke atas dan terus keluar memanggil jiran meminta bantuan.
Dia yang tidak dapat menyembunyikan kesedihan berkata, jirannya warga Pakistan cuba memanjat bumbung untuk menyelamatkan ketiga-tiga mangsa namun gagal.
**media[3642749]**
“Saya terkilan sebab tak dapat selamatkan mereka, kalau boleh nak gadai nyawa sendiri, tapi tangga tiada, saya tidak boleh panjat dari luar,” ujarnya.
Katanya, pemergian isteri dan dua anaknya itu merupakan satu kehilangan besar memandangkan hubungan mereka sangat rapat dan jarang berjauhan dalam tempoh lama.
**media[3642741]**
Ujar Khairul Nizam, mereka kerap bermain boling setiap malam namun semalam tidak melakukan aktiviti berkenaan.
Jelasnya, dia akan meneruskan perniagaan katering yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.
Jenazah tiga beranak itu dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Bentong Dalam, di sini.



![[VIDEO] Tiga beranak maut: Dua beradik ditemukan berpelukan di sisi ibu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/09/10/3642752.webp)


