[VIDEO] Tokoh kewangan Islam Daud Bakar, rakan kongsi didakwa pecah amanah RM10.55 juta

LocalBusiness & Finance
11 May 2026 • 10:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Tokoh kewangan Islam Daud Bakar, rakan kongsi didakwa pecah amanah RM10.55 juta
Image from: [VIDEO] Tokoh kewangan Islam Daud Bakar, rakan kongsi didakwa pecah amanah RM10.55 juta
Mohd Daud dan Norliza ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan rakan kongsinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM10.55 juta antara 2021 dan 2024 lalu.

**media[3516704]**

Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) dan Datuk Norliza Tajuddin, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut semua pertuduhan, Mohd Daud yang memakai kot warna hitam sementara Norliza berbaju kelabu didakwa sebagai ejen, iaitu pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd telah diamanahkan dengan harta, dengan niat bersama melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang milik empat pelabur.

Ia membabitkan nilai RM400,000 dan RM200,000 milik Moideen Kunjayu; RM500,000, RM900,000 dan RM550,000 (Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad); RM2 juta (Datuk Dr Mashitah Ibrahim) serta RM6 juta (Myad Kapital Sdn Bhd). 

Dua tertuduh secara tidak jujur telah menggunakan harta tersebut dengan melanggar kontrak nyata yang telah dibuat mengenai penyempurnaan amanah, iaitu 'Shareholder’s Advance Agreement' bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari, 1 April, 27 April dan 6 Disember 2022 serta 5 April 2023 dan 12 Mei 2024.

Perjanjian melibatkan Energy Eco dengan empat pelabur terbabit berhubung perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.

Kesalahan didakwa dilakukan di dua bank di Taman Setiawangsa dan Bangsar, di sini antara 22 Jun 2021 dan 15 Mei 2024.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat berkata, pihak pendakwaan dan pembelaan telah bersetuju supaya ikat jamin ditetapkan sebanyak RM100,000 bagi setiap tertuduh.

“Saya mohon, tertuduh Norliza dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya hingga kes ini selesai.

“Bagi Mohd Daud, dia telah dituduh atas kes lain pada 23 Februari lalu, dan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Suruhanjaya Sekuriti sekali setiap bulan.

“Jadi, selain jumlah ikat jamin berkenaan, saya cadangkan mahkamah meletakkan syarat tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman.

Peguam, Datuk Hamidi Mohd Noh yang mewakili Mohd Daud mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, peguam, Zahida Md Zaman yang mewakili Norliza merayu supaya anak guamnya dibenarkan untuk membuat bayaran ansuran iaitu RM50,000 pada Isnin sementara baki (RM50,000) pada tarikh lain.

Selepas mendengar permohonan berkenaan, Suzana membenarkan Norliza diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

“Tertuduh dibenarkan untuk membayar jaminan sebanyak RM50,000 pada hari ini (Isnin) namun perlu menyelesaikan bakinya pada atau sebelum 18 Mei ini.

"Bagi tertuduh Mohd Daud, mahkamah membenarkan jaminan jumlah sama dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi atau melalui pihak ketiga," katanya yang menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan kes.

Pada 23 Februari lepas, Mohd Daud mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.