Video Tular Ruang Masjid Jadi Lokasi ‘Tournament’ ML Hanya Salah Faham, Ini Penjelasan MPP UPM

Entertainment
3 Jun 2025 • 11:09 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini, tular mengenai rakaman video memaparkan sekumpulan pelajar sedang bermain permainan video Mobile Legends di ruang masjid Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menerusi video tersebut, sekumpulan pelajar itu didakwa tidak menghormati kesucian masjid, malah masih meneruskan aktiviti ketika jenazah sedia untuk disolatkan di masjid berkenaan.

MPP UPM kesal maklumat yang tersebar adalah fitnah

Terbaharu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM menafikan dakwaan mengenai video tular terbabit.

Yang Dipertuanya, Umar Akhtar Ab Malek menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah dan tidak berasas yang bukan sahaja mengelirukan, malah mencetuskan salah faham terhadap pihak pengurusan masjid dan Pusat Islam UPM.

Katanya, ia bukan sahaja menjejaskan reputasi masjid tetapi turut memberi imej negatif kepada universiti secara keseluruhannya.

Jelasnya, program tersebut merupakan aktiviti pelajar yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Islam UPM yang pada asalnya dijadualkan bertempat di Bilik Smart Classroom, Masjid UPM.

“Berdasarkan maklumat rasmi, pihak penganjur diberi arahan awal penggunaan ruang solat adalah tidak dibenarkan dan hanya bilik Smart Classroom boleh digunakan.”

Namun begitu, berlaku pertukaran lokasi ke kawasan luar bilik tersebut disebabkan kekangan ruang semasa program berjalan.

“Penting untuk saya nyatakan tiada sebarang jenazah berada di kawasan itu sewaktu aktiviti berlangsung.

“Jenazah yang dimaksudkan hanya tiba setelah aktiviti dihentikan serta-merta bagi menghormati situasi tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Umar tidak menafikan bahawa penganjur wajar bertanggungjawab atas pelanggaran garis panduan penggunaan ruang yang ditetapkan, namun menegaskan bahawa keadaan telah disalah tafsir.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang kandungan ke media sosial, khususnya perkara yang belum disahkan kesahihannya.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.