'Jangan biar persoalan integriti tanpa jawapan' – MCW

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 2:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Jangan biar persoalan integriti tanpa jawapan' – MCW
Tangkap layar sekumpulan lelaki disyaki sedang melakukan curi kabel. Gambar kecil: Jais
Image from: 'Jangan biar persoalan integriti tanpa jawapan' – MCW
Tangkap layar rakaman video tular sebuah kenderaan polis dikatakan berada di lokasi kes curi kabel.

SHAH ALAM - "Jangan menghukum berdasarkan video tular, tetapi jangan juga membiarkan persoalan integriti tanpa jawapan."

Itu tegas Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berhubung kes tular di media sosial yang mempersoalkan kegiatan mencuri kabel dengan dakwaan diiringi oleh sebuah kenderaan peronda.

Menurut beliau, jika terdapat unsur membantu, melindungi atau bersekongkol dengan kegiatan jenayah, siasatan bebas dan tindakan tegas perlu dilaksanakan tanpa kompromi.

"Pada peringkat ini, MCW menegaskan bahawa kandungan video atau hantaran media sosial tidak boleh dianggap sebagai bukti muktamad bahawa berlaku salah laku, perlindungan atau penglibatan mana-mana anggota penguat kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, semakan awal MCW juga belum menemukan pengesahan berautoriti yang mencukupi mengenai konteks sebenar rakaman tersebut.

"Namun, dakwaan seperti ini tidak wajar dibiarkan tanpa penjelasan kerana ia menyentuh secara langsung soal integriti, amanah dan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan.

"MCW mencadangkan pihak berkuasa segera mengenal pasti lokasi, tarikh dan masa kejadian, kenderaan yang terlibat serta anggota yang bertugas," katanya.

**media[3654214]**

Tambahnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kamera papan pemuka (dashcam), peranti Sistem Penentu Kedudukan (GPS) kenderaan peronda, rekod komunikasi dan log penugasan juga boleh membantu menentukan konteks sebenar kejadian.

Jelasnya, sekiranya kenderaan peronda tersebut sebenarnya sedang menjalankan tugas rasmi, perkara itu perlu dijelaskan kepada masyarakat bagi mengelakkan fitnah dan persepsi negatif.

Sebelum itu, paparan video itu dikesan tular di beberapa aplikasi sosial Facebook dan Threads.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berhampiran, difahamkan kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu lalu.

Isu itu turut dimuat naik penyanyi dan aktivis, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli di Facebook rasmi beliau.

Bagaimanapun, setakat jam 1.15 petang tiada pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung dakwaan tentang persoalan tular itu.

Sinar Harian masih menunggu kenyataan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved