KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan tular kehadiran sebuah kenderaan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan 'escort' kenderaan curi kabel di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan pencuri kabel telah dilaksanakan oleh pihak polis.
**media[3654703]**
"Dakwaan (kenderaan polis) bersekongkol adalah tidak benar.
"MPV bertindak atas maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan kenderaan pasukan juga membuka lampu beacon mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Noor Hisam berkata, tindakan anggota MPV terbabit merupakan tindak balas kepada aduan orang ramai.
Menurutnya, setakat ini seorang suspek curi kabel telah diberkas untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian tular di beberapa platform media sosial, termasuk Facebook dan Threads.
Rakaman berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk dakwaan bahawa kenderaan polis terbabit mengiringi kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi.






