![Image from: [VIDEO] Wanita tolak kanak-kanak, pukul kepala budak dua tahun](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/tolak-kepala-tular-viral-1024x682.jpeg)
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita tidak dikenali menolak seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga terjatuh dan memukul kepala adiknya yang berusia dua tahun di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 35 saat yang memaparkan kejadian pertengkaran antara dua individu itu sebelum tular di Facebook.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.39 malam tadi daripada seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
“Ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang, pengadu sedang berjalan bersama dua anaknya sebelum seorang wanita tidak dikenali menolak anak lelakinya dari arah belakang sehingga terjatuh.
“Wanita sama turut memukul bahagian belakang kepala anak perempuan pengadu yang berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis memandang serius kejadian itu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan menerusi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi (03-2600 2222) atau balai polis berhampiran.- KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Wanita tolak kanak-kanak, pukul kepala budak dua tahun appeared first on Kosmo Online.






