Dua kanak-kanak didakwa dikasari wanita di pusat beli-belah

1 Nov 2026 • 9:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua kanak-kanak didakwa dikasari wanita di pusat beli-belah
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan pertengkaran antara dua individu di sebuah pusat membeli-belah.

KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita didakwa mengasari dua kanak-kanak masing-masing berusia dua dan tujuh tahun di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, wanita berkenaan dipercayai menolak kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari arah belakang sehingga terjatuh serta memukul bahagian belakang kepala kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 7.39 malam daripada seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

"Ketika kejadian, pengadu sedang berjalan bersama dua anaknya sebelum insiden berkenaan berlaku. Kes masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihak polis turut terkesan satu video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial Threads yang memaparkan pertengkaran antara dua individu di sebuah pusat membeli-belah.

"Polis memandang serius kejadian itu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden serta melengkapkan siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved