
Pasukan perlumbaan negara Malaysia, Viper Niza Racing, bakal memulakan kempen Michelin 24H Series Eropah 2026 hujung minggu ini di 12 Hours of Mugello, Itali (20–22 Mac).
Musim 2026 menyaksikan Viper Niza Racing menyertai kesemua lima pusingan kejuaraan. Selepas Mugello, saingan diteruskan di Spa-Francorchamps, Belgium (17–19 April), diikuti Paul Ricard, Perancis (5–7 Jun), Nürburgring, Jerman (3–5 Julai) sebelum tirai musim dilabuhkan di 24 Hours of Barcelona, Sepanyol (18–20 September).
Walaupun hanya menyertai empat daripada lima pusingan musim lalu, Viper Niza berjaya menamatkan kempen 2025 di kedudukan ke-6 keseluruhan serta ke-4 dalam kelas GT3-AM merupakan satu pencapaian memberangsangkan bagi musim penuh pertama mereka di Eropah.
Menurut Pengurus Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo, pengalaman musim lalu menjadi asas penting untuk menghadapi cabaran 2026.
“Walaupun terlepas pusingan pembukaan di Mugello tahun lalu, kami masih berjaya berada di kedudukan ke-4 keseluruhan dalam kelas GT3-AM. Musim tersebut penuh cabaran tetapi mempercepatkan proses pembelajaran kami, dan kami mahu tampil lebih kuat musim ini.”
Prestasi terbaik pasukan pada 2025 hadir di Spa-Francorchamps, apabila mereka menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 kelas GT3, dan naib juara GT3-AM. Selepas mengalami kegagalan di Misano, mereka bangkit dengan kedudukan podium kelas di Paul Ricard sebelum menamatkan musim di Barcelona.
Bagi musim 2026, Douglas Khoo akan mengetuai barisan sepenuhnya rakyat Malaysia, bersama rakan sepasukan Dominic Ang dan Melvin Moh dalam kategori GT3-AM.
“Ini kali pertama kami berlumba di Mugello. Kami telah melakukan banyak simulasi, tetapi pengalaman sebenar di litar masih berbeza. Sasaran kami adalah konsisten mengutip mata dan berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan musim ini.”
Dari sudut teknikal, jentera Mercedes-AMG GT3 EVO pasukan telah melalui proses pemeriksaan penuh termasuk kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan bagi memastikan prestasi optimum sepanjang musim.
The post Viper Niza Racing Mulakan Kempen Michelin 24H Series European Series Sempena Michelin 12H Mugello appeared first on TW Media.
