Viper Niza Racing Tampil Barisan Pemandu Mantap di Kejohanan Michelin 24 Hours of Barcelona

23 Sep 2025 • 11:50 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Pasukan Malaysia, Viper Niza Racing Team, bakal menggegarkan pentas antarabangsa apabila turun ke perlumbaan akhir Michelin 24H SERIES European Series 2025 iaitu 24 Hours of Barcelona pada 26–28 September ini.

Berbekalkan jentera Mercedes-AMG GT3 EVO yang terbukti kompetitif, pasukan ini tampil dengan barisan pemandu sepenuhnya dari Malaysia iaitu Douglas Khoo, Dominic Ang, Melvin Moh, Aaron Lim dan Afiq Ikhwan Yazid.

Ketika ini, Viper Niza Racing menduduki tempat ketiga bersama Hofor Racing dalam kedudukan keseluruhan GT3-AM Class, hanya lapan mata memisahkan tiga pasukan teratas dengan pendahulu Juta Racing. Dengan 20 mata ditawarkan selepas 12 jam pertama dan 40 mata pada penamat, kejuaraan bakal ditentukan sepenuhnya di garisan penamat.

Selepas terlepas pusingan pembukaan di Mugello, pasukan segera menonjol di 12 Hours of Spa-Francorchamps dengan tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 dalam GT3 dan naib juara GT3-AM. Walau diuji masalah teknikal di Misano, mereka bangkit di Paul Ricard dengan tempat ke-8 keseluruhan dan podium ketiga dalam GT3-AM.

Menguatkan cabaran di Barcelona, dua nama besar menyertai skuad iaitu Aaron Lim dan Afiq Ikhwan Yazid. Lim mempunyai rekod luas termasuk kejayaan di A1 Grand Prix, kemenangan dalam Thailand Super Series serta juara dua kali Sepang 1000km Endurance. Afiq pula merupakan juara empat kali Lamborghini Super Trofeo Asia, selain pernah beraksi dalam Siri Asian Le Mans dan mencatat kemenangan dalam kejohanan TSS The Super Series by B-Quik di Buriram dan baru-baru ini di Sepang.

“Kami berhasrat menamatkan musim ini dengan kedudukan podium dalam kejuaraan. Ia akan menjadi pencapaian luar biasa untuk tahun pertama kami di European Series, lebih istimewa kerana dibarisi pemandu sepenuhnya dari Malaysia,” kata Douglas Khoo, Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama.

Khoo menambah bahawa pengalaman terdahulu di Barcelona memberi motivasi besar:

“Pace, konsistensi, strategi, perlumbaan bebas masalah dan fokus adalah kunci utama. Kehadiran Aaron dan Afiq menambahkan kekuatan barisan kami.”

Viper Niza Racing disokong oleh Motul, Endless & Momentum Autoparts, IWC selaku Jam Rasmi, serta Jen Orchard Gateway Hotel Singapore.