Viper Niza Racing Turun Dengan Barisan Terbaik Untuk Aksi Penentu

23 Sep 2025 • 11:23 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Viper Niza Racing Turun Dengan Barisan Terbaik Untuk Aksi Penentu

Siri 2025 Michelin 24H SERIES European Series akan melabuhkan tirainya hujung minggu ini (26–28 September) dengan perlumbaan 24 Hours of Barcelona di Sepanyol, di mana pasukan Malaysia, Viper Niza Racing Team, berada dalam kedudukan untuk merebut tempat tiga teratas keseluruhan bagi kelas GT AM.

Pasukan serba-Malaysia ini akan turun dengan barisan pemandu terkuat hujung minggu ini — Douglas Khoo, Dominic Ang, Melvin Moh, Aaron Lim, dan Afiq Yazid — mengemudi jentera Mercedes-AMG GT3 EVO yang telah terbukti berupaya meraih kemenangan.

image is not available

Viper Niza kini berkongsi kedudukan ke-3 keseluruhan GT3-AM bersama Hofor Racing, dengan Continental Racing by Simpson Motorsport di tempat ke-2, hanya dibezakan oleh pendahulu kejuaraan, Juta Racing. Hanya lapan mata memisahkan tiga pelumba teratas untuk gelaran keseluruhan.

Dengan 20 mata ditawarkan kepada pemenang selepas 12 jam pertama dan tambahan 40 mata kepada pemenang pada akhir perlumbaan, gelaran GT3-AM akan ditentukan sepenuhnya di garisan penamat.

Walaupun terlepas lima pusingan awal di 12 Hours of Mugello pada Mac, Viper Niza Racing segera mencuri perhatian pada penampilan sulungnya di Michelin 12 Hours of Spa Francorchamps di Belgium pada April lalu dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 dalam kelas GT3 dan naib juara dalam kelas GT3 AM.

image is not available

 

Namun, pencapaian itu tidak dapat diulangi di 12 Hours of Misano di Itali pada Mei apabila masalah retakan pada oil sump memaksa pasukan menamatkan perlumbaan lebih awal.

Di 12 Hours of Paul Ricard di Perancis pada Julai, Viper Niza Racing bangkit dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 keseluruhan serta ke-3 dalam kelas GT3-AM.

Berbeza dengan empat perlumbaan awal yang berlangsung selama 12 jam, penutup musim di Barcelona bakal menjadi ujian ketahanan sebenar dengan perlumbaan 24 jam di Litar Barcelona-Catalunya sepanjang 4.657km. Litar yang dibina pada 1991 ini mempunyai 14 selekoh dan dianggap serba lengkap kerana turut menjadi tuan rumah kejohanan MotoGP dan Formula 1.

image is not available

Menguatkan lagi barisan pasukan di Barcelona ialah kemasukan dua pelumba berpengalaman — Aaron Lim dan Afiq Yazid.

Lim memulakan kerjaya dari karting sebelum bersaing dalam Formula BMW Asia dan Formula Renault V6 Asia, serta pernah mewakili Malaysia di kejohanan berprestij A1 Grand Prix. Dalam perlumbaan GT, pencapaiannya termasuk tempat ke-3 Lamborghini Super Trofeo Asia Round 5 (AM) dan juara Thailand Super Series Sepang (GT3 AM) bagi Pusingan 3 dan 4 tahun ini; menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 Shanghai 8-Hour Endurance 2024; dan memenangi 25-Hour Endurance Thailand 2022. Lim juga dua kali bergelar juara Sepang 1000km Endurance (MTC) pada 2013 dan 2015.

Afiq, 34, pula membawa pengalaman 18 tahun dalam dunia perlumbaan. Beliau empat kali bergelar juara keseluruhan Lamborghini Super Trofeo Asia Series (2015 – Pro, 2016 – Pro-Am, 2017 – Pro, 2019 – Pro-Am).

Beliau turut memenangi perlumbaan Lamborghini Super Trofeo World Final (Pro Class) pada 2018 dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 keseluruhan di Vallelunga, Itali. Pada 2017, Afiq pernah bersaing dalam Asia Le Mans Series dengan jentera LMP2 dan memenangi perlumbaan di Buriram, Thailand bersama dua lagi pelumba Malaysia.

image is not available

Selain itu, Afiq juga pernah beraksi dalam Super Taikyu Endurance Series STX Class, Gulf 12 Hours Endurance Race 2018, serta Formula BMW dan Formula Masters China pada awal kerjayanya.

“Kami sememangnya menyasarkan tempat tiga teratas dalam kejuaraan. Ia akan menjadi pencapaian luar biasa pada tahun pertama kami menyertai Siri Eropah ini. Lebih penting, ia dilakukan bersama pasukan dan barisan pelumba serba-Malaysia,” kata Prinsipal Pasukan merangkap pelumba utama, Douglas Khoo.

image is not available

“Saya, Ang dan Moh pernah berlumba di 24 Hours of Barcelona pada 2022 dengan kereta Seat Cupra TCR dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 kelas selepas melengkapkan 574 pusingan. Pengalaman itu sangat mencabar, malah dua kali ganda lebih sukar berbanding tiga perlumbaan 12 jam yang kami sertai tahun ini. Rentak, konsistensi, strategi, mengelak masalah teknikal dan fokus akan menjadi faktor utama, dan kemasukan Lim serta Afiq sangat membantu.”

image is not available

“Dengan mata diberikan pada jam ke-12 dan ke-24, adalah penting untuk kami mengutip seberapa banyak mata bagi mengekalkan kedudukan ke-3, atau lebih baik, naik dalam kedudukan keseluruhan.”

Pasukan Viper Niza Racing disokong oleh Motul, Endless & Momentum Autoparts; IWC sebagai Jenama Jam Rasmi; serta Jen Orchard Gateway Hotel di Singapura.